Kluster baharu: 3 Kluster tempat kerja, Majlis kenduri hari Ibu di Gereja Silimpopon
06:05 May 21, 2021  |  By SabahKini2
Kluster baharu: 3 Kluster tempat kerja, Majlis kenduri hari Ibu di Gereja Silimpopon

Daripada 245 kes positif COVID-19, sebanyak 60 kes (24.5%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 25 kes (10.2%) saringan bergejala, 151 kes (61.6%) dari kluster baharu dan sedia ada serta sembilan (9) kes (3.7%) dari lain-lain kategori.

KOTA KINABALU: Empat kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini membabitkan tiga kluster berpunca dari tempat kerja dan satu daripada majlis keramaian.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster berkenaan adalah Jalan Pengalat Lok Kawi di Papar, Kluster Lorong Karamunsing dan Kluster Jalan Tun Fuad di Kota Kinabalu serta Kluster Jalan Kretam Silimpopon di Kalabakan

14 Mei 2021 di Hospital Tawau melalui saringan bergejala terhadap kes indeks merupakan warganegara, lelaki, 33, pekerja kilang pemprosesan di Ladang Sawit Silimpopon. Kes indeks mula mengalami gejala batuk dan demam sejak 08 Mei 2021, sebelum disahkan positif COVID-19 oleh pihak hospital tersebut. Saringan kontak rapat yang dijalankan ke atas 142 orang mendapati 41 kontak dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah sebanyak 42 kes. Manakala, 76 sampel didapati negatif dan 24 sampel masih menunggu keputusan ujian. Aktiviti pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan serta punca jangkitan masih dalam siasatan. Berdasarkan siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri kenduri Hari Ibu di Gereja Gabungan Silimpopon yang terletak bersebelahan Jalan Kretam, Silimpopon di dalam ladang berkenaan.

Kluster Jalan Pengalat Lok Kawi mencatatkan 16 kes, Kluster Lorong Karamunsing (28), Kluster Jalan Tun Fuad (11) manakala Kluster Jalan Kretam Silimpopon, 42 kes.

Kluster Jalan Pengalat Lok Kawi adalah kluster tempat kerja membabitkan pekerja kilang CCK Fresh Mart Sabindo di Papar.

“Kes indeks adalah lelaki 32 tahun, petugas di unit kawalan kualiti (QC) kilang berkenaan dan mula bergejala sejak 10 Mei lepas sebelum disahkan positif di Klinik Kesihatan Inanam pada 18 Mei. Susulan kes terbabit, majikan telah menjalankan saringan di tempat kerja terhadap 69 pekerja kilang terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian COVID-19 telah meningkat kepada tiga angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah 245 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,909 kes dan satu kes kematian direkodkan di Tawau,” katanya. 

Daripada 245 kes positif COVID-19, sebanyak 60 kes (24.5%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 25 kes (10.2%) saringan bergejala, 151 kes (61.6%) dari kluster baharu dan sedia ada serta sembilan (9) kes (3.7%) dari lain-lain kategori.

 
Comment