Rumah setinggan pengganas Abu Sayyaf di Beaufort dimusnahkan
11:05 May 22, 2021  |  By SabahKini2
Rumah setinggan pengganas Abu Sayyaf di Beaufort dimusnahkan

Operasi khas pemusnahan membabitkan 60 anggota dan pegawai itu dijalankan PDRM dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

BEAUFORT: Enam buah rumah di kawasan setinggan berhampiran Taman Sri Arjuna, di sini, yang menjadi lokasi serangan hendap pengganas Abu Sayyaf terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimusnahkan, hari ini.

Operasi khas pemusnahan membabitkan 60 anggota dan pegawai itu dijalankan PDRM dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, keputusan memusnahkan penempatan kumpulan pengganas berkenaan dibuat dalam mesyuarat membabitkan semua agensi ini semalam.

Katanya, operasi pertama hari ini hanya membabitkan enam rumah di lokasi pertama (Point B) manakala lokasi kedua (Point A) terpaksa ditangguhkan berikutan kawasan berkenaan dilanda banjir.

“Operasi pemusnahan di lokasi Point A akan membabitkan 30 rumah yang berada kira-kira 300 meter daripada lokasi Point B.

“Tindakan merobohkan dan memusnahkan rumah-rumah yang dijadikan sarang pengganas ini bagi mengelakkannya didirikan semula,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Yusoof Zaki berkata, tindakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort juga tidak akan terhenti di sini dan gerakan mengesan saki baki ahli kumpulan berkenaan masih diteruskan.

Katanya, semua anggota dan pegawai sudah dikerah untuk memasuki kawasan setinggan lain bagi memastikan tiada lagi kehadiran kumpulan pengganas berkenaan di daerah ini.

Sementara itu, Yusoff Zaki menafikan beberapa kenyataan yang tular di media sosial kononnya daerah Beaufort tidak selamat berikutan insiden minggu lalu.

Katanya, sebagai ketua polis daerah, beliau memberi jaminan keadaan di daerah ini selamat dan aktiviti hariannya beroperasi seperti biasa.

“Khabar angin berkenaan tidak boleh dipercayai malah keadaan aktiviti di daerah ini berjalan seperti biasa.

“Tiada isu keselamatan di daerah Beaufort. Pihak berkuasa juga sentiasa bersiap sedia sepanjang masa bagi memastikan keadaan selamat,” katanya.

Bagaimanapun katanya, masyarakat diminta supaya tampil menyalurkan sebarang maklumat sekiranya berlaku sebarang pergerakan luar biasa untuk tindakan awal. 

1 Comment