Balik Raya dari Labuan cetus Kluster Abaka dan Melikai di Sabah dikenakan PKPD
23:05 May 22, 2021  |  By SabahKini2
Balik Raya dari Labuan cetus Kluster Abaka dan Melikai  di Sabah dikenakan PKPD

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kemasukan terbabit juga mencetuskan dua kluster baharu hari ini yang berpunca dari aktiviti perayaan sempena Aidilfitri.

KOTA KINABALU: Kerana rentas negeri orang awam  Labuan memasuki Sabah antara faktor utama mempengaruhi jumlah kes harian Covid-19 di negeri ini kembali mencecah tiga angka.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kemasukan terbabit juga mencetuskan dua kluster baharu hari ini yang berpunca dari aktiviti perayaan sempena Aidilfitri.

Dua kluster terbabit ialah Kluster Abaka di Tawau mencatatkan sebanyak 38 kes manakala Kluster Melikai di Kuala Penyu pula mencatatkan sebanyak 16 kes, selain satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Indani di Semporna yang mencatatkan sebanyak 12 kes.

“Bagi Kluster Abaka di Tawau yang dikesan pada 14 Mei lalu, kes indeks adalah guru lelaki berusia 26 tahun serta pasangannya dikesan positif dalam saringan rentas negeri untuk kembali bertugas di Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Labuan, selepas meraikan Aidilfitri di Tawau.

“Berdasarkan penelitian kes, pasangan yang masuk ke Sabah pada 08 Mei lalu itu terbabit dengan aktiviti kunjung mengunjungi sehingga 14 Mei di Taman Abaka, Ladang Table di Mukim Merotai, Tawau.

“Daripada 171 kontak yang disaring, 68 sampel didapati negatif, manakala 65 sampel lagi masih menunggu keputusan. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Selain itu, bagi Kluster Melikai di Kuala Penyu membabitkan kes indeks Labuan yang pulang ke Kampung Melikai bagi menyambut Aidilfitri mulai 13 Mei lalu.

“Kes indeks membabitkan wanita berusia 50 tahun yang bertugas sebagai Penolong Guru Tadika Perpaduan di Batu Arang, Labuan yang mana beliau mula bergejala batuk dan demam dengan keputusan saringan negatif dalam saringan memasuki Sabah pada 12 Mei lalu.

“Selepas empat hari berada di Sabah, kes indeks yang menjalani saringan sebelum diberikan dos kedua vaksin di Klinik Kesihatan Labuan kemudiannya disahkan positif Covid-19 pada 17 Mei lalu.

“Daripada 167 sampel yang diambil dalam kluster ini, 15 lagi dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes, manakala baki 74 sampel masih dalam proses.

“Aktiviti kawalan dan pencegahan sedang giat dijalankan,” katanya.

Masidi juga turut menasihati orang ramai yang pernah mengunjungi Labuan atau menerima kunjungan daripada penduduk Labuan agar lebih berhati-hati bagi memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dibanteras sepenuhnya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes Harian Covid-19 sebanyak tiga angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 189 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 60,242 kes dan tiada kes kematian direkodkan,” katanya.

 

22 Comments