SESB sangkal dakwaan MP Beaufort Stesen Hidroelektrik Tenom Pangi punca banjir besar di Beaufort
15:05 May 24, 2021  |  By SabahKini2
SESB sangkal dakwaan MP  Beaufort Stesen Hidroelektrik Tenom Pangi punca banjir besar di Beaufort

Kenyataan SESB menyusul selepas ahli parlimen menuduh pelepasan air di Stesen Hidroelektrik Pangi sebagai punca banjir di Beaufort yang menyebabkan ribuan penduduk terjejas di lebih 50 kampung.

Syarikat utiliti, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyangkal dakwaan sesetengah pihak termasuk Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun yang mengaitkan banjir di Tenom dan Beaufort sejak beberapa hari lalu dengan tindakan pelepasan air di Stesen Hidroelektrik Tenom Pangi.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Norhizami Abu Hasan, berkata stesen hidroelektrik yang dibina merentangi Sungai Padas itu bukan seperti stesen hidroelektrik lain yang menggunakan empangan untuk menakung air.

Sebaliknya, beliau berkata, stesen janakuasa yang beroperasi sejak 1980-an itu berfungsi menggunakan aliran air Sungai Padas yang dialirkan ke turbin bagi menjana tenaga elektrik yang kemudian disalurkan ke sistem Grid Sabah.

"Stesen ini beroperasi menggunakan kaedah mengalihkan aliran air sungai menerusi terowong ke turbin hidro bagi pengoperasian stesen dan jumlah air yang dialihkan itu adalah sama dengan jumlah air yang dilepaskan semula ke sungai," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kenyataan beliau menyusul selepas netizen dan ahli parlimen menuduh pelepasan air di Stesen Hidroelektrik Pangi sebagai punca banjir di Beaufort yang menyebabkan ribuan penduduk terjejas di lebih 50 kampung.

Norhizami menambah, Diverson Water Gate (DWG) yang menyerupai sebuah empangan dibina di stesen janakuasa itu adalah struktur pagar yang direka untuk mengalihkan aliran air sungai untuk penjanaan tenaga elektrik.

Katanya, struktur itu bukan empangan sebenar, namun jika paras air sungai meningkat dan aliran sungai berlebihan pihak SESB akan membuka pintu DWG itu bagi melepaskan lebihan air secara semula jadi ke sungai.

"DWG ini akan dibuka secara berperingkat dan SESB juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memaklumkan pembukaan pintu pagar DWG itu.

"SESB berharap kenyataan ini dapat menjelaskan keadaan sebenar dan ingin syarikat memberi jaminan keselamatan semua pihak adalah keutamaan SESB dalam pengoperasian Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi yang beroperasi sejak 1980-an lagi.

Tuduhan Azizah

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun dalam hantaran di Facebook beliau meminta agar pengoperasian stesen janakuasa itu dikaji semula kerana pembukaan pintu air di stesen itu menyebabkan Sungai Padas melimpah dan membanjiri daerah Beaufort.

Situasi itu katanya menyukarkan penduduk dan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus melaksanakan tugas menyelamatkan mangsa banjir, selain terpaksa berdepan risiko penularan COVID-19.

"Mungkin sudah tiba masanya Stesen Hidroelektrik Tenom Pangi dikaji semula keupayaannya kerana setiap kali hujan lebat dan berterusan dua tiga hari, pintu air di stesen itu dibuka dan air dilepaskan di Sungai Padas, maka banjirlah Beaufort dan tambah terjejaslah kehidupan penduduknya," katanya.

Stesen Hidroelektrik Tenom Pangi yang berkeupayaan menjana 66 Megawatt (MW) tenaga elektrik adalah satu-satunya janakuasa hidro elektrik di Sabah yang dibina pada 1980-an.

 

1 Comment