[VIDEO] Terbakar lagi: 25 rumah atas air di Tanjung Aru musnah dijilat Api
16:05 May 25, 2021  |  By SabahKini2
[VIDEO] Terbakar lagi: 25 rumah atas air  di Tanjung Aru musnah dijilat Api

Sebanyak 25 rumah musnah dan pasukan bomba berjaya menyelamat sebanyak 986 rumah lagi di kawasan perkampungan atas air berkenaan

KOTA KINABALU: Kira-kira 25 rumah di Kampung Tanjung Aru, musnah dalam kebakaran, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, kebakaran dipercayai bermula daripada sebuah rumah di kawasan perkampungan atas air itu sebelum merebak ke rumah lain.

Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jemros Olin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.01 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 32 anggota bersama lima jentera ke lokasi kejadian.

 

“Setibanya di lokasi kejadian didapati api sedang marak dan operasi memadam dilakukan dan api berjaya dikawal 30 minit kemudian.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh sebanyak 25 rumah telah musnah dan pasukan bomba berjaya menyelamat sebanyak 986 buah rumah lagi di kawasan perkampungan atas air berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jemros berkata, keadaan laluan ke lokasi serta tekanan air yang rendah menyukarkan operasi pemadaman dijalankan.

“Apa yang kita alami, kita dapati laluan di lokasi kejadian agak sempit menuju ke kampung dan di kawasan perkampungan ini juga menggunakan jambatan kayu untuk menghubungkan antara rumah dan kebanyakan jambatan itu telah musnah.

“Ini menyebabkan kesukaran anggota bomba untuk masuk ke dalam bagi memadam api. Kita dapati juga tekanan air agak rendah dan kita memerlukan jentera lori tangki untuk memadam api,” katanya.

Jemros berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.

Operasi pemadaman kebakaran turut dibantu polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, beberapa penduduk juga cuba memadam api menggunakan baldi berisi air namun api marak begitu cepat disebabkan struktur rumah berasaskan kayu serta faktor angin.

Sebelum ini pada 15 Mei lalu, sejumlah 35 rumah di perkampungan atas air di Kampung Meruntum, Putatan, juga musnah dalam kebakaran. 

1 Comment