[VIDEO] Total Lockdown: Bekalan makanan dijamin mencukupi
22:05 May 31, 2021  |  By SabahKini2
[VIDEO] Total Lockdown: Bekalan makanan dijamin mencukupi

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata sektor pertanian dan industri makanan akan terus diletakkan sebagai satu perkhidmatan perlu (essential services) dan dibenarkan beroperasi sepanjang masa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan

Kredit: TV 3

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memastikan rantaian bekalan makanan dan sekuriti makanan negara tidak terganggu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata sektor pertanian dan industri makanan akan terus diletakkan sebagai satu perkhidmatan perlu (essential services) dan dibenarkan beroperasi sepanjang masa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"MAFI mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan golongan petani, nelayan dan penternak diberi kebenaran untuk beroperasi sepanjang PKP.

"Usaha ini bertujuan memastikan kelangsungan bekalan makanan," katanya 

Ahli Parlimen Beluran itu berkata, MAFI juga mengambil pelbagai langkah dan usaha bagi terus memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin dalam apa jua keadaan.

Katanya, ini bagi memastikan bekalan makanan terutama makanan utama iaitu beras, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan terus berada pada tahap stabil dan mencukupi.

Sementara itu, Ronald turut mengingatkan petani, nelayan dan penternak serta pengusaha industri agromakan secara keseluruhannya, supaya sentiasa mematuhi SOP dan menjaga keselamatan diri sepanjang masa.

Katanya, pihaknya akan terus memastikan kebajikan barisan hadapan sektor agromakanan itu diberi keutamaan.

"Perkhidmatan bilik gerakan Crisis Management Centre (CMC) juga dibuka semula selaras dengan pelaksanaan PKP 3.0 yang berfungsi sebagai pusat utama penerimaan panggilan, pusat amaran awal, 'centralized command centre' dan pusat pelaporan situasi harian untuk mendapatkan maklumat terkini setiap sektor dan industri," katanya.

Selain itu katanya, sistem pemantauan data dan isu bekalan harian (SITREP) seluruh negara yang dilaksanakan oleh MAFI sejak PKP 1.0 akan terus menjana status semasa dan laporan bekalan makanan terhadap komoditi utama.

Katanya, laporan itu juga akan dikemukakan kepada MKN bagi tujuan pemantauan.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan dan aduan boleh salurkan menerusi talian hotline 03-88701491 atau 1664 atau di laman web http://mafi.spab.gov.my.

1 Comment