Rakyat Beaufort mahu masalah bekalan Air diselesaikan segera
00:06 Jun 05, 2021  |  By SabahKini2
Rakyat Beaufort mahu masalah bekalan Air diselesaikan segera

Pengerusi Persatuan Kasih Masyarakat Sabah (PKMS) Mohd Shafiq Mohd Bidin berkata penduduk yang berdepan bencana banjir baru-baru ini, terbeban apabila bekalan air bersih terputus sehingga menyukarkan keluarga mereka khususnya yang mempunyai anak kecil, wa

BEAUFORT : Penduduk di daerah Beaufort memohon kerajaan negeri Sabah dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengambil langkah berkesan menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang didakwa berlarutan sejak 80-an dan diburukkan dengan kejadian banjir di daerah itu baru-baru ini.

Penduduk berpendapat sejak sekian lama mereka mendengar pelbagai perancangan diutarakan dan perbincangan dilakukan bersama pihak berkepentingan tetapi, hingga hari ini tiada langkah konkrit dilaksanakan dalam menyelesaikan isu yang membelenggu penduduk itu.

Pengerusi Persatuan Kasih Masyarakat Sabah (PKMS) Mohd Shafiq Mohd Bidin berkata penduduk yang berdepan bencana banjir baru-baru ini, terbeban apabila bekalan air bersih terputus sehingga menyukarkan keluarga mereka khususnya yang mempunyai anak kecil, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, bukan hanya bekalan air paip terputus, air mineral dan minuman berbotol di setiap premis di daerah itu juga turut kehabisan apabila penduduk terpaksa membeli air itu bagi kegunaan harian.

“Saya percaya pihak berkaitan sudah membuat perbincangan tentang masalah air di Beaufort ini tetapi apa yang penduduk di sini mahu ialah hasil daripada perbincangan itu membawa kepada langkah penyelesaian berkesan.

“Tetapi hingga kini, walaupun dikhabarkan ada loji dibina dengan kos jutaan ringgit tetapi masalah bekalan air tidak ada noktahnya dan amat membebankan rakyat terutamanya yang tinggal jauh dari kawasan Pekan Beaufort,” katanya kepada Bernama.

Pada Selasa lepas, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah akan membentangkan hala tuju serta strategi jangka panjang untuk mengurus bekalan air di negeri ini kepada Kabinet negeri bulan ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata hala tuju bekalan air Sabah itu antara lain akan merangkumi usaha mengurangkan kadar air tanpa hasil (NRW) negeri yang kini 57 peratus disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kes kecurian air, paip bocor dan paip sudah terlalu lama sejak zaman British lagi.

Mohd Shafiq yakin sekiranya loji rawatan air yang dibina seperti yang diuar-uarkan sebelum ini berfungsi dengan baik, penduduk di daerah itu pasti tidak akan menghadapi masalah bekalan air meskipun dalam keadaan banjir daripada limpahan air Sungai Padas.

Beliau yang menubuhkan PKMS pada November tahun lepas bagi membantu rakyat negeri ini, turut mengambil contoh Loji Rawatan Air (LRA) yang terletak di Kampung Lawa, Gadong yang merawat air dari Sungai Padas masih boleh membekalkan air bersih walaupun dalam keadaan banjir.

Mohd Shafiq berkata atas dasar tanggungjawab kepada masyarakat di daerah itu, beliau dengan kerjasama pihak yang dermawan telah membekalkan empat lori tangki air bersih dengan setiap lori mampu membawa 25,000 liter air untuk diagihkan kepada penduduk di daerah itu.

“Ada kawasan kampung sudah hampir 20 hari tiada bekalan air bersih, ada juga kawasan yang air paipnya keruh dan memang tidak sesuai untuk diminum,” katanya sambil menambah cadangan untuk penswastaan loji perlu mendapat perhatian sewajarnya.

Roujip Tinggal, 24, berkata penduduk di daerah itu sebenarnya sudah tidak mahu mendengar pelbagai alasan dan jaminan yang diberikan pelbagai pihak untuk menyelesaikan masalah itu, justeru penduduk mahu melihat perancangan rapi dibuat dan dilaksanakan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Apabila diberi jaminan untuk menyelesaikan masalah ini penduduk akan menaruh harapan besar masalah ini akan diselesaikan tetapi akhirnya harapan tinggal harapan, jadi janganlah beri harapan sebegini kepada kami…berilah satu jalan penyelesaian,” katanya.

Saodah Fenddy, 28, berkata JANS seharusnya mempunyai mekanisme kecemasan untuk membantu rakyat yang terputus bekalan air seperti menghantar air percuma kepada penduduk dan memberi maklumat terkini mengenai tindakan baik pulih terutama dalam media sosial.

“Tetapi, apabila penduduk menghubungi talian JANS jawapan diterima amat mengecewakan, harap ada penambahbaikan selepas ini,” katanya. – BERNAMA

9 Comments