Phillip Among didakwa lima pertuduhan cabul dua wanita
00:06 Jun 11, 2021  |  By SabahKini2
Phillip Among didakwa lima pertuduhan cabul dua wanita

Philip berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

KOTA KINABALU: Bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Phillip Among mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Antara pertuduhan yang dibacakan terhadapnya adalah mencabul kehormatan membabitkan dua wanita termasuk seorang peserta Unduk Ngadau.

Philip berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Phillip membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Sementara empat lagi pertuduhan pula membabitkan kesalahan mencabul kehormatan iaitu terhadap seorang lagi wanita yang juga peserta Unduk Ngadau di empat lokasi berasingan pada 19 Mei lalu.

Mahkamah membenarkan Phillip dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan bersama dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh pengurusan kes pra perbicaraan pada 14, 21 dan 22 Julai depan.

Selain itu, tertuduh diarah menyerahkan pasport kepada pendakwa selain melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Mohd Ali memohon kepada mahkamah supaya mengenakan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan berikutan kes terbabit mendapat liputan meluas di media.

Bagaimanapun, dua peguam mewakili tertuduh Marcel Jude dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah memohon mahkamah supaya mengurangkan jumlah ikat jamin, mengambil kira tertuduh memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang siasatan dilakukan.

Selain itu, Jude turut menyatakan sumbangan Phillip kepada masyarakat sebelum ini perlu diambil kira, selain pendapatannya sebagai seorang ahli perniagaan terjejas akibat pandemik COVID-19.

Phillip ditahan polis pada 3 Jun lalu bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Siasatan dibuat selepas seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri mendakwa diraba ketika menaiki kenderaan milik tertuduh.

Perkara berkenaan turut mendapat pelbagai reaksi selepas tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

1 Comment