Semuanya khabar angin, hanya 15 anggota polis positif covid-19 - Hazani Ghazali
00:06 Jun 11, 2021  |  By SabahKini2
Semuanya khabar angin, hanya 15 anggota polis positif covid-19 - Hazani Ghazali

Itu hanya khabar angin, untuk Sabah termasuk Labuan ketika ini cuma 15 orang yang positif Covid-19. jumlah itu amat kecil berbanding selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini lebih 100 anggota

KOTA KINABALU: Dakwaan kononnya ramai anggota serta pegawai polis di negeri ini dan Labuan dijangkiti Covid-19 hanyalah khabar angin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, setakat ini pihaknya hanya merekodkan seramai 15 anggotanya yang dikesan positif Covid-19.

Katanya, jumlah itu amat kecil berbanding selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini yang mencecah lebih 100 anggota dan pegawai yang positif.

“Itu hanya khabar angin, untuk Sabah termasuk Labuan ketika ini cuma 15 orang yang positif Covid-19.

“Sebelum ini, polis Sabah yang pernah dikuarantin selepas disyaki positif Covid-19 mencecah 1,000 orang namun ianya adalah tahun lalu, bukan tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Ketua Menteri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Khamis.

Hazani berkata, bagi pemberian vaksin dalam kalangan anggota dan pegawai polis pula, jumlah berkenaan sudah mencecah hampir 85 peratus.

Katanya, ia membabitkan lebih 8,000 anggota dan pegawai yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Sementara itu, mengulas berkenaan lawatan Ketua Menteri hari ini, Hazani berkata, pihaknya memberi taklimat berhubung situasi kawalan keselamatan negeri ini sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh yang sedang dilaksanakan.

Katanya, Sabah berada dalam keadaan terkawal dan pihaknya amat komited untuk meneruskan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Ketua Menteri juga berpuas hati dengan hasil kerja PDRM dan agensi lain dalam menguatkuasakan SOP ditetapkan,” katanya

1 Comment