Marcel Jude hina Unduk Ngadau perlu dikenakan ‘Sogit’ kata Pairin
18:06 Jun 15, 2021  |  By SabahKini2
Marcel Jude hina Unduk Ngadau perlu dikenakan ‘Sogit’ kata  Pairin

KDCA boleh mengambil tindakan terhadap Jude yang dilihat berniat jahat kerana memalukan persatuan ini selain memperlekehkan KDCA dengan cara yang tidak sepatutnya sehingga mencemarkan nama persatuan

 Sekalipun Peguam Philip Among, Marcel Jude Joseph telah meminta maaf kerana menghina budaya kaum KDM, Presiden Persatuan Budaya Kadazandusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyarankan Marcel perlu dihadapkan ke Mahkamah Anak Negeri dan dikenakan ‘sogit’ kerana mengabaikan serta melanggar adat istiadat masyarakat Kadazan Dusun dan Murut (KDM).

Pairin yang juga Huguan Siou atau pemimpin tertinggi KDM berkata, Jude bukan saja secara langsung telah menyinggung perasaan KDCA tetapi juga telah menyinggung perasaan pelbagai pihak.

Katanya, ia susulan kenyataan Jude yang menghina pertandingan ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau dalam pernyataan mahkamannya membela Philip Among  yang menghadapi lima pertuduhan mencabul kehormatan di mahkamah.

”Pertamanya, laporan polis harus dibuat terhadap tindakannya itu bagi memastikan polis mencatatkan kenyataannya yang tidak boleh dimaafkan itu.

”Kedua, KDCA boleh mengambil tindakan terhadap Jude yang dilihat berniat jahat kerana memalukan persatuan ini selain memperlekehkan KDCA dengan cara yang tidak sepatutnya sehingga mencemarkan nama persatuan,” katanya dalam kenyataan.

Sogit adalah satu bentuk pampasan yang diperuntukan dalam Kaedah Mahkamah Anak Negeri (Undang-Undang Adat Anak Negeri Sabah) 1995 sekiranya berlaku pelanggaran adat.

Selepas mendapat reaksi kecaman pelbagai pihak Marcel Jude memohon maaf kerana nota hujahnya menyamakan acara ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau dengan ‘persembahan lembu eksotik’ (exotic cattle show) dan ‘acara lelong’ (auction show).

Saya, Marcel Jude Joseph, dengan ikhlas dan sepenuh hati memohon maaf atas bahagian dalam penghujahan mahkamah yang telah menyinggung dan menyakitkan (pihak yang berkaitan).

“Maka di sini saya membuat permohonan maaf ikhlas ini kepada semua Unduk Ngadau di seluruh Malaysia, dari permulaan acara ratu Kaamatan Unduk Ngadau sehingga untuk tahun 2021,” katanya.

 

 

4 Comments