82,341 kanak-kanak, bayi dijangkiti Covid-19, politikus Malaysia sibuk berebut kuasa
19:06 Jun 20, 2021  |  By SabahKini2
82,341 kanak-kanak, bayi dijangkiti Covid-19, politikus Malaysia sibuk berebut kuasa

Kes Covid-19 Malaysia kini keseluruhan menghampiri 700 ribu. Sehingga 31 Mei lalu 82,341 kanak-kanak dan bayi dijangkiti Covid-19. Sekalipun ia membimbangkan tetapi politikus Malaysia sibuk berebut kuasa. Mereka tak peduli rakyat sengsara dan susah

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba baru-baru ini mengumumkan berita gembira untuk rakyat di negara ini dalam usaha memastikan program vaksinasi berjalan lancer apabila Malaysia akan menerima sejumlah 3.6 juta vaksin COVID-19 keluaran CanSino, bermula bulan Julai ini.

"Vaksin CanSino ini vaksin dengan dos tunggal yang sudah diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),

"NPRA juga meluluskan satu lagi vaksin dos tunggal Johnson & Johnson. Ini bermakna kita ada satu lagi calon vaksin dos tunggal, bagi dalam program vaksinasi negara," katanya dalam program bual bicara Bernama TV Jumaat lalu

Berita gembira untuk ibubapa

Mengulas mengenai pemberian vaksin kepada kumpulan kanak-kanak, Dr Adham berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 akan meneliti data yang dikeluarkan pengeluar vaksin.

"Pihak Pfizer sudah mengeluarkan kelulusan untuk pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas tetapi ketika ini, kita perlu menyelesaikan fasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terlebih dahulu. Kita mempunyai keutamaan mengikut fasa tertentu.

"Bagi mereka yang berusia 12 tahun ke atas juga, kita mempunyai perancangan tetapi kena melihat data yang lebih menyakinkan daripada Pfizer. Soalnya, kita juga perlu melihat kumpulan mana yang perlu diutamakan dahulu," katanya.

82,341 kanak-kanak dan bayi dijangkiti Covid-19

31 Mei lalu Dr Adham memaklumkan seramai 82,341 kanak-kanak dan bayi dijangkiti Covid-19.

Daripada jumlah itu, katanya, 19,851 kes membabitkan golongan berusia daripada 0 hingga 4 tahun, 8,237 (5 hingga 6 tahun), 26,851 (7 hingga 12 tahun) serta 27,402 (13 hingga 17 tahun) dan mereka adalah pesakit Covid-19 kategori 1, 2 dan 3.

Bimbang dengan statistik itu, Dr Adham menasihatkan ibu bapa atau penjaga untuk bertanggungjawab melindungi golongan berkenaan daripada dijangkiti seperti tidak membawa anak mereka ke tempat yang sesak.

Menurutnya, walaupun tiada peruntukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membolehkan kompaun dikenakan kepada ibu bapa yang membawa anak ke tempat sesak, namun kertas siasatan boleh dibuka.

Kes jangkitan terhadap kanak-kanak hampir 90 ribu ini agak tinggi terutama bagi bayi dan juga umur 7 tahun ke atas. Pembukaan sekolah baru-baru ini dan jangkitan daripada keluarga merupakan antara punca jangkitan kepada kanak-kanak merebak dengan cepat. 

Hari ini (20 Jun 2021) kes Covid-19 Malaysia 5,293 kes dengan jumlah kes keseluruhan ialah 696,408 kes. Jika hampir 90 ribu kes kanak-kanak sudah tentu ia membimbangkan rakyat Malaysia.

 

Kini menyedari vaksin Pfizer boleh digunakan kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas dan kelulusan NPRA Kementerian Pendidikan menggesa agar pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 diberi keutamaan bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan, cadangannya sebagaimana diumumkan oleh  Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin telah diluluskan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

“Cadangan vaksinasi kepada pelajar kelas peperiksaan itu masuk akal kerana mereka boleh kembali ke sekolah secara berperingkat untuk persediaan menghadapi peperiksaan.

 

Perdana Menteri yakin imuniti kelompok dicapai tahun ini

Perdana Menteri, Tan Sri Mahaiddin Yassin yakin, sasaran imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini akan dapat dicapai seperti dirancang.

Perdana Menteri berkata, keyakinan itu berikutan jaminan bekalan vaksin yang ditempah dikatakan akan sampai seperti dijadual.

"Saya diberitahu oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin MOSTI bekalan vaksin dah mula sampai, bahkan saya dimaklumkan akan sampai lebih awal daripada jadual.

"(Jadi), saya yakin sasaran untuk mencapai imuniti kelompok di negara ini akan dapat dicapai sebelum akhir tahun ini berikutan jaminan perjalanan bekalan vaksin yang ditempah akan sampai sebelum akhir tahun ini.

"Dahulu kalau jadualnya tahun depan... 2022 baru dapat selesai, tetapi sekarang ini saya telah diberi jaminan sebelum akhir tahun ini akan dapat semua bekalan.

"Maknanya kita boleh dapat capai herd imunnity (imuniti kelompok) atau 80 peratus suntikan vaksin (untuk penduduk Malaysia) sebelum akhir tahun ini," katanya dalam Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan di RTM dan Bernama TV 23 Mei lalu

 

Tapi hari ini para politikus sedang sibuk berebut kuasa dikala kanak-kanak sengsara, program vaksin dilaksana ahli  politik mahu persidangan parlimen malah Pilihanraya diadakan. Katanya dengan bertukar PM maka Covid-19 Malaysia akan terhenti serta merta.

Comment