BN terbukti cemerlang menjaga hak dan kepentingan rakyat berbilang kaum dan agama- Tangau
02:01 Jan 25, 2018  |  By SabahKini2
BN terbukti cemerlang menjaga hak dan kepentingan rakyat berbilang kaum dan agama- Tangau

Peruntukan sebanyak RM2.5 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat untuk pembinaan bangunan baru Dewan Paroki St John

TUARAN: Peruntukan sebanyak RM2.5 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat untuk  pembinaan bangunan baru Dewan Paroki St John di sini.

Kelulusan ini dibuat selepas perkara tersebut dibawa ke perhatian YAB Perdana Menteri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau selepas mesyuarat Kabinet minggu lepas.

Perkara itu disebut oleh Tangau semasa berucap di Mesyuarat Jentera Pilihanraya Umum ke-14 Barisan Nasional (BN) di Dewan Seri Sulaman di sini Ahad lepas.

Seminggu sebelum itu, Tangau menghadiri sambutan Epiphany dan massa, sempena lawatan pastoral oleh Uskup Agung Datuk John Wong ke Gereja St John. Turut bersama di majlis tersebut adalah Father Raymond Edward.

Mereka juga sempat melawat ke tapak pembinaan bangunan baru dewan paroki yang masih terbengkalai akibat kekurangan dana itu.



Wong mencadangkan supaya 20,000 ahli gereja tersebut berpakat-pakat menyumbang RM100 masing-masing.

Walau bagaimana pun, Tangau merasakan bahawa mereka ini tidak seharusnya dibebankan, maka beliau secara senyap-senyap membawa perkara tersebut berjumpa dengan YAB PM untuk mencari kaedah terbaik membantu pihak gereja.

"Selepas menjelaskan keadaan itu, PM memberi persetujuan tanpa teragak-agak. Ini menunjukkan PM kita benar-benar mengambil berat," katanya dan diikuti oleh tepukan gemuruh daripada semua yang hadir ketika itu.

Tangau yang juga Timbalan Pengerusi BN Tuaran berkata, dengan penghormatan itu, terbukti dengan jelas bahawa Kerajaan Barisan Nasional mempunyai rekod yang cukup cemerlang dalam menjamin serta memelihara hak-hak masyarakat yang berbilang kaum serta agama di negeri Sabah ini khasnya, dan di seluruh negara amnya.

"Rakyat kini boleh menarik nafas lega kerana hak mereka cukup terjamin di bawah pentadbiran kerajaan yang sedia ada sekarang," katanya.

Comment