500 Dos Vaksin di Long Pasia Sipitang Sabah
05:06 Jun 24, 2021  |  By SabahKini2
500 Dos Vaksin di Long Pasia Sipitang Sabah

500 Dos Vaksin COVID-19 Disasar Di Kawasan Pedalaman Long Pasia

Sebanyak 500 dos vaksin COVID-19 disasar untuk diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman Long Pasia, Sipitang menerusi Program Jiwa Murni, Army Combat Medic Vaccination Programme (ACMVP) selaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Markas Divisyen Kelima Infantri, Kem Lok Kawi menerusi satu kenyataan memberitahu program kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Sabah itu akan melaksana pemberian vaksin selama dua hari bermula esok.

Kenyataan itu menyebut pelepasan konvoi program itu disempurnakan Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mej Jen Datuk Mohd Halim Khalid pagi ini di perkarangan Markas Divisyen Kelima Infantri di Kem Lok Kawi di sini melibatkan lima kenderaan pacuan empat roda.

“Konvoi ini menggunakan laluan jalan darat melalui Jalan Lok Kawi-Papar-Beaufort-Sipitang-Long Pasia ini diketuai Pegawai Staf 1 Ordnans Lt Kol Manan Husin bersama Tim Combat Medic Vaccination Team (CMVT) 5 Divisyen,” kata kenyataan itu.

Long Pasia terletak di kawasan pedalaman Sabah menempatkan kira-kira 1,000 penduduk  terletak sekitar 300 kilometer dari barat daya Kota Kinabalu, dan juga terletak 1,000 meter atas paras laut di kawasan tanah tinggi Maligan.

Menurut kenyataan itu bekalan vaksin diterima daripada kerajaan Sabah dan dibawa ke kawasan Long Pasia menggunakan kaedah pergerakan helikopter EC725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

Pelaksanaan Program Jiwa Murni itu bertujuan untuk membantu Sabah mencapai sasaran imuniti kelompok penerima suntikan vaksin COVID-19 bagi penduduk di kawasan pedalamannya.

2 Comments