Surat palsu Hishammuddin kepada Istana, Setiausaha Akhbar buat laporan polis
22:06 Jun 24, 2021  |  By SabahKini2
Surat palsu Hishammuddin kepada Istana,  Setiausaha Akhbar buat laporan polis

Satu laporan polis dibuat oleh pegawai Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berikutan penyebaran surat palsu kononnya beliau memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

11 Jun lalu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Menteri Luar difitnah kononnya dipecat keahlian UMNO. UMNO menafikan surat-surat itu dan adanya mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Hari ini sekali lagi Naib Presiden UMNO itu terus menjadi sasaran fitnah politik dengan satu surat kononnya Menteri Luar itu memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan jumlah sokongan untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Bagaimanapun ia ditangkis oleh pasukan Hishammuddin, H20 Team, bahawa surat yang tular itu adalah palsu dan tidak benar.

Satu laporan polis dibuat oleh pegawai Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berikutan penyebaran surat palsu kononnya beliau memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Laporan berkenaan dibuat oleh Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Ariffin, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, petang Khamis.

Ditemui selepas membuat laporan polis itu, Hafiz berkata, surat palsu tersebut dibuat dan disebarkan dengan niat untuk memburukkan reputasi Ahli Parlimen Sembrong berkenaan serta mewujudkan kekeliruan kepada orang ramai.

“Surat tersebut telah direka dengan menggunakan, kononnya, kepala surat Bendahari Agung Barisan Nasional, tandatangan kepunyaan Datuk Seri Hishammuddin serta cop perakuan penerimaan surat oleh Bahagian Khidmat Pengurusan Istana Negara bagi tujuan supaya ia kelihatan seolah-olah suatu surat yang sahih.

“Laporan polis ini dibuat bagi menafikan kesahihan surat tersebut dan meminta agar pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 469 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 463 dan 464 (a) Kanun yang sama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian),” katanya di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, pemalsuan dokumen dan tandatangan dalam surat tersebut wajar disiasat dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa agar tidak berterusan menjadi amalan yang menggalakkan politik kebencian dan fitnah.

Surat yang tersebar itu juga memaparkan kononnya ahli Parlimen bersetuju untuk memilih Hishammuddin sebagai Perdana Menteri.

Bahkan, dalam surat berkenaan turut dipaparkan cadangan barisan kepimpinan Kabinet serta pelantikan penasihat kerajaan daripada kalangan negarawan.

 

 

1 Comment