Rancangan Peralihan Tenaga Malaysia, Menteri KeTSA diskriminasi Sabah?
06:06 Jun 25, 2021  |  By SabahKini2
Rancangan Peralihan Tenaga Malaysia, Menteri KeTSA diskriminasi Sabah?

Entah dimana silapnya. Rancangan peralihan tenaga Malaysia sasaran 31 peratus Tenaga Diperbaharui (RE) hanya utamakan Semenanjung. Alasannya 80% permintaan 'Malaya' sahaja. Benarkah? Sabah tidak perlukan Solar?

21 Jun lalu Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Menterinya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan telah berkongsi rancangan peralihan tenaga Malaysia dengan Menteri-menteri Tenaga ASEAN dan perwakilan lain yang mengambil bahagian dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri ASEAN Mengenai Tenaga serta Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, yang berlangsung secara maya.

Malaysia dilaporkan memberi fokus kepada rancangan penjanaan tenaga dengan sasaran 31 peratus Tenaga Diperbaharui (RE) dalam kapasiti terpasang pada tahun 2025, dan 40 peratus pada tahun 2035, sebagai rancangan peralihan tenaga hingga tahun 2040.

Dalam mesyuarat itu Shamsul Anuar berkata kapasiti terpasang bagi RE di Malaysia setakat ini adalah 7,995 megawatt (MW), dan menjelang 2035, kapasitinya diunjurkan meningkat sekali ganda sehingga 18,000 MW.

Bagaimanapun Shamsul Anuar menjelaskan hanya akan menumpukan Semenanjung Malaysia sahaja. Negeri Sabah tidak terlibat.

"Menteri juga menjelaskan bahawa untuk meningkatkan pengagihan RE dalam gabungan kapasiti tenaga, kerajaan akan memberi tumpuan kepada Semenanjung Malaysia, memandangkan ia meliputi 80 peratus permintaan elektrik negara.

"Daripada 31 peratus sasaran RE pada tahun 2025, 26 peratus adalah dari Semenanjung Malaysia dan dari 40 peratus sasaran pada tahun 2035, Semenanjung mewakili 32 peratus.

"Kapasiti RE di Semenanjung diunjurkan meningkat daripada 4,430 MW ketika ini kepada 10,944 MW dalam 15 tahun akan datang. Memandangkan solar memiliki potensi tertinggi, Malaysia merancang untuk memperkenalkan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), dengan jumlah kapasiti 500 MW mulai 2030 dan tahun seterusnya," menurut kenyataan itu.

Dalam mesyuarat itu, Shamsul Anuar berkata dengan sasaran RE itu, kepekatan pelepasan karbon disasar untuk dikurangkan 45 peratus pada tahun 2030, dan seterusnya 60 peratus pada tahun 2035, berbanding tahap 2005 yang merupakan selaras dengan sasaran Sumbangan Yang Ditentukan Negara (NDCs) di bawah Perjanjian Iklim Paris.

Menganak tirikan Sabah?

Keputusan untuk menumpukan tenaga sumber diperbaharui di Semenanjung sahaja tidak meliputi Sabah dan Sarawak nampaknya jelas satu diskriminasi.

Alasan Shamsul (Mungkin daripada nasihat pegawai KeTSA dan Suruhanjaya Tenaga) memberi tumpuan kepada Semenanjung Malaysia kerana 80 peratus permintaan elektrik negara di adalah di Semenanjung sangat tidak boleh diterima. Benarkah 'demand' hanya daripada Semenanjung?

Jika begitu sampai bila Sabah mendapat bekalan elektrik meluas di negeri Sabah sedangkan semua tahu pergantungan kepada TNB/SESB dan  penyedia tenaga bebas (IPP) konvensional semata telah banyak merugikan Sabah.

Berapa banyak lagi Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik bagi Negeri Sabah mahu dibuat atau dibentangkan? Sabah tetap begitu sejak BN dan Kerajaan Warisan Plus. Jika pelan lama diteruskan tidak mustahil GRS-PN akan kekal menerima nasib sama.

Ekonomi lambat berkembang kerana ketiadaan bekalan elektrik mencukupi dan menyebabkan pelabur tidak mahu melabur di negeri Sabah bagi membina kilang-kilang di daerah Sabah. Semua pelaburan berpusat di Kota Kinabalu kerana perlukan bekalan elektrik dan air mencukupi.  Daerah lain tertinggal kerana tiada pelabur yang mahu melabur di daerah yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada syarikat sekalipun banyak sumber boleh digunakan di Sabah. 

Sabah tidak mungkin dapat menunggu lagi  sebuah penyedia tenaga bebas (IPP) berkapasiti 1,000 Mw atau lebih yang masih sangat bergantung  bahan api fosil seperti petroleum dan gas. Sabah perlu menjana lebih banyak kuasa elektrik melalui tenaga hijau (tenaga boleh diperbaharui) supaya boleh mencapai harga elektrik yang lebih murah seperti Projek Solar Berskala Besar (LSS)

Sampai bila ? cara lama dan juga menyambung kontrak IPP?

Projek LSS - Kudat

 

Penjanaan kuasa di Sabah adalah 5 peratus daripada diesel dan 86 peratus daripada gas manakala 8 peratus  kuasa daripada tenaga hidro. 

Sabah terus tertinggal berbanding Sarawak  77 peratus daripada penjanaan kuasa keseluruhan negeri itu adalah daripada tenaga hidro dan hanya 1 peratus daripada diesel dan 11 peratus daripada gas. 

Sabah tidak mungkin mengikut langkah Sarawak membina empangan bersaiz besar yang mungkin mengorbankan kawasan serta sumber alam yang banyak serta berhadapan penentangan rakyat membina empangan sebagaimana Empangan Papar sebelum ini. Kerajaan BN dan Warisan sebelum ini berhadapan tugas sukar untuk melaksanakan projek empangan hidro elektrik dan bekalan air. Oleh itu Sabah perlu segera melaksana projek solar berskala besar.

[ARTIKEL BERKAITAN- Sabah perlu pelaburan projek solar berskala besar ]

Menurut Shamsul Anuar projek solar memiliki potensi tertinggi di Semenanjung sahaja oleh itu KeTSA akan memperkenalkan skala utiliti BESS dengan jumlah kapasiti 500 MW dari 2030-2034. Maka tidak menghairankan pelan tenaga yang diumumkan hanya lebih kepada 'Malaya'.

Pengumuman Menteri KeTSA merencatkan Sabah!

Mengapa Kerajaan Pusat khususnya KeTSA tidak memanfaatkan sepenuhnya tenaga diperbaharui (RE) di Sabah?  Mengapa tidak memanfaatkan apa yang ada di Sabah?

Jika ada pelabur yang boleh melaksanakan Projek Solar Berskala Besar (LSS) di Sabah untuk mempercepatkan pembangunan Sabah mengapa tidak KeTSA, TNB/SESB memberi peluang kepada Kerajaan GRS melaksanakannya? Ini semua demi kemajuan negeri Sabah bukan mengutamakan ‘kartel IPP’ sedia ada.

Mengapa perlu memilih membina lagi stesen IPP konvensional yang terbukti mahal, memperbanyakkan lagi IPP dam menyambung IPP yang dah tamat di Sabah? Kos tenaga di peringkat Sabah sebanyak RM0.565 / KWh daripada stesen janakuasa dan ada sesetengah IPP di Sabah kos tenaga setinggi RM0.98 / KWh. Bayangkan Kerajaan membuang kira-kira  RM480 ​​juta setahun untuk stesen janakuasa milik TNB/SESB dan RM1.15 billion milik IPP. Jika tempoh konsesi mencecah 15 hingga 25 tahun pastilah lebih teruk lagi setiap tahun. Berbilion dibuang tetapi rakyat Sabah dapat apa? Sampai bila Sabah asyik 'black out' memanjang seperti berlaku baru-baru ini yang merugikan banyak pihak di Sabah

[ARTIKEL BERKAITAN - Menteri puji TNB, Sabah ‘Blackout’ angkara SESB, IPP Sepanggar gagal! ]

[ARTIKEL BERKAITAN - Menteri KETSA berpuas hati dengan TNB di Semenanjung tetapi bagaimana SESB di Sabah? ]

Sampai bila Pelan Tenaga di negara ini hanya mengutamakan 'Malaya'? Anda boleh lihat sendiri. Boleh dibaca penuh dalam PDF. Jika melibatkan kouta 'Solar' pun sangat malang Sabah tetap di belakang.  

 

Sabah tidak boleh terus menunggu untuk menarik pelabur di negeri Sabah bergantung arahan Kerajaan Pusat. Sabah tidak boleh menerima bulat-bulat apa yang dilaksana KeTSA dan Suruhanjaya Tenaga tanpa berbincang dengan Kerajaan Negeri. Jika boleh Sabah harus mempunyai Suruhanjaya Tenaga sendiri yang mempunyai kuasa sama dengan Suruhanjaya Tenaga Malaysia. Sabah harus melakukan perubahan. Bagi Projek Solar Berskala Besar (LSS) Kerajaan Negeri perlu segera melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan di negeri Sabah.  Jika ada pelaburan berbilion ringgit  ke Sabah, kerajaan GRS harus menggunakan kuasa autonominya. Jika tidak sampai bila-bila pun Sabah akan terus kerugian dan tertinggal. 

 

 

24 Comments