Kerajaan fokus keluar dari kemelut COVID-19 bangunkan semula ekonomi negara- Dr Ronald
22:06 Jun 26, 2021  |  By SabahKini2
Kerajaan fokus keluar dari kemelut COVID-19 bangunkan semula ekonomi negara- Dr Ronald

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan akan terus bekerja bersama-sama dengan barisan hadapan negara dan rakyat dengan satu matlamat utama iaitu memerangi pandemik COVID-19 yang menjadi ancaman besar terhadap

PAITAN: Kerajaan akan terus fokus untuk keluar dari kemelut pandemik COVID-19 seterusnya memulihkan serta membangunkan semula ekonomi negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan akan terus bekerja bersama-sama dengan barisan hadapan negara dan rakyat dengan satu matlamat utama iaitu memerangi pandemik COVID-19 yang menjadi ancaman besar terhadap keselamatan serta kehidupan ekonomi rakyat.

"Malaysia pernah mendapat pengiktirafan dunia dalam mengawal pandemik COVID-19 sebelum ini.

"Saya percaya dengan usaha-usaha berterusan Kerajaan bersama-sama dengan barisan hadapan dan kerjasama rakyat keseluruhannya, kita akan sekali lagi berjaya melandaikan lengkuk jangkitan wabak COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan bakul makanan kepada 200 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Maidan, hari ini.

Beliau berkata, pelbagai langkah-langkah fiskal yang diambil Kerajaan telah memberikan pelbagai impak positif untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan serta menyediakan bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

"Bagi menyokong sektor pertanian dan industri makanan serta menjamin sekuriti makanan negara, pembiayaan bernilai RM400 juta telah diperuntukkan bagi golongan petani, penternak dan nelayan," katanya.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank sahaja, RM350 juta telah diperuntukkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). 

Katanya, setakat 16 Jun 2021, sebanyak RM198.67 juta telah diluluskan di bawah skim ini bagi memanfaatkan 15,612 PKS Mikro pertanian.

“Kerajaan sentiasa memberi penekanan khusus terhadap sekuriti makanan bagi memastikan jaminan dan kelangsungan bekalan makanan negara," katanya.

Dalam pada itu katanya, penyerahan sumbangan bakul makanan kepada 200 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Maidan hari ini adalah merupakan sebahagian daripada 16,000 bakul makanan yang diagihkan oleh Pejabat Parlimen Beluran kepada KIR di Parlimen Beluran sepanjang pelaksanaan PKP 3.0.

Menurutnya, bakul makanan terbabit yang mengandungi barangan keperluan asas adalah bagi mengurangkan beban penduduk setempat.

"Pengagihan dilakukan menerusi tiga zon iaitu di Sugut membabitkan 5,000 KIR manakala Telupid dan Labuk membabitkan 5,000 dan 6,000 KIR. 

"Pengagihan bakul makanan itu telah dimulakan di Zon Sugut pada Rabu lepas yang dilaksanakan di Kampung Botition diikuti di Pentas Rakyat Paitan dan Dewan Kampung Timbulus," katanya.

Beliau berkata, pengagihan bakul makanan itu seterusnya akan dilaksanakan di Zon Telupid dengan penyerahan akan diadakan di Dewan Kampung Bouto, Dewan Kampung Gana Jati dan Dewan Kampung Bintang Mas.

Manakala bagi Zon Labuk katanya, penyerahan bakul makanan akan dilaksanakan di Kampung Rampek Beluran.- UB

1 Comment