10 kilang dikompaun, Sabah kembali catat Kluster Tembok - Masidi Manjun
23:06 Jun 26, 2021  |  By SabahKini2
10 kilang dikompaun, Sabah kembali catat Kluster Tembok - Masidi Manjun

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pemeriksaan telah dilakukan ke atas 30 buah kilang dan 10 buah kilang itu tidak mematuhi SOP. Manakala Kluster Tembok Tawau mula dikesan semula.

10 Kilang di Tawau dikompaun setelah didapati tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kehadiran 60 peratus tenaga kerja sektor perkilangan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pemeriksaan telah dilakukan ke atas 30 buah kilang dan 10 buah kilang itu tidak mematuhi SOP.

"Kompaun dikeluarkan berdasarkan Peraturan 16 iaitu Gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja bagi sektor perkilangan dan pembuatan seperti arahan Ketua Pengarah KKM.

"Manakala di daerah Lahad Datu 36 buah kilang telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati semua kilang ini mematuhi peraturan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, hanya sebuah kilang di Lahad Datu yang pekerjanya seramai empat orang telah dikompaun oleh KKM di bawah Peraturan 17 atas sebab gagal memakai pelitup muka di tempat kerja.

Sementara itu, beliau berkata, satu kluster baharu direkodkan hari ini melibatkan jangkitan dalam pusat tahanan.

Katanya, Kluster Tembok Tawau mula dikesan apabila kes indeks, banduan lelaki yang dibawa masuk dari Lokap IPD Lahad Datu ke blok kuarantin di Blok Ehsan pada 11 Jun 2021, disahkan positif dalam saringan hari ke-10 pada 21 Jun 2021. 

"Saringan sama turut merekodkan tiga lagi kes positif dalam kalangan penghuni sel terbabit pada 22 Jun 2021. 

"Berikutan penemuan itu, saringan kontak rapat yang dijalankan terhadap 61 warga tembok sehingga 23 Jun 2021 mendapati lima lagi kes positif terdiri daripada tiga warden dan dua banduan, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak sembilan kes," katanya.

Beliau berkata, aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Sementara itu katanya, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Kepayan Kota Kinabalu, Kilang Sawit Bell (termasuk perumahan kilang) Kinabatangan, Kampung Tuunon Penampang, Kampung Perpaduan Ria 1 Kudat dan Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud.

Katanya, kesemua PKPD itu berkuat kuasa 28 Jun sehingga 11 Julai 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

 

1 Comment