Sabah setuju buka Pejabat Perdagangan, Pelancongan di Singapura
06:06 Jun 29, 2021  |  By SabahKini2
Sabah setuju buka Pejabat Perdagangan, Pelancongan di Singapura

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kesungguhan membuka pejabat perdagangan tersebut dinyatakan selepas menerima kunjungan hormat secara maya Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Vanu Gopala Menon.

KOTA KINABALU: Sabah bersetuju membuka Pejabat Perdagangan dan Pelancongan di Singapura bagi meningkatkan potensi ekonomi dalam kedua-dua sektor berkenaan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kesungguhan membuka pejabat perdagangan tersebut dinyatakan selepas menerima kunjungan hormat secara maya Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Vanu Gopala Menon.

Menerusi pertemuan secara dalam talian yang julung kali diadakan itu, Hajiji berkata, Sabah dan Singapura mempunyai sejarah hubungan perdagangan yang sudah lama terjalin.

"Pembukaan pejabat ini akan menambah lebih baik lagi hubungan sedia ada antara Sabah dan Singapura.

"Saya juga mahu mengajak pelabur dari Singapura untuk melihat peluang yang ada di bawah pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya yang memfokuskan pelaburan berimpak tinggi dalam sektor pertanian, pelancongan dan perindustrian," katanya selepas menerima kunjungan hormat secara maya Vanu Gopala Menon di pejabatnya pada Isnin.

Tambah Hajiji, kedua-dua mereka turut membincangkan pelbagai isu termasuk usaha pencegahan pandemik COVID-19 serta kaedah diambil untuk mengurangkan jumlah kes wabak itu.

Singapura adalah antara 10 rakan dagang terulung di Sabah dengan nilai dagangan sebanyak RM133 juta setakat Januari tahun ini.

Antara 10 produk yang dieksport ke negara itu ialah minyak sawit, makanan laut, petroleum mentah dan produk kayu.

Sabah pula merekodkan lebih RM7 billon nilai perdagangan dengan Singapura untuk tempoh dua tahun (2019-2020).

 

3 Comments