10 Orang Ditahan, Manakala 59 Masih Diburu Demi Mengelak PKPD
17:07 Jul 07, 2021  |  By SabahKini2
10 Orang Ditahan, Manakala 59 Masih Diburu Demi Mengelak PKPD

10 orang penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya telah ditahan oleh pihak polis, manakala 59 orang masih diburu.

Kota Kinabalu: 10 orang penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya telah ditahan oleh pihak polis, manakala 59 orang masih diburu. Mereka telah melarikan diri ketika dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), hari ini.

 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, semua ditahan susulan operasi dijalankan di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini.

Katanya, semua yang ditahan dikenal pasti pekerja gerai dan penjual ikan di Pasar Besar di sini.

“Mereka ditahan awal pagi hari ini dan akan diserahkan kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi memburu 59 lagi individu yang masih bebas akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Hazani berkata, semua 69 individu terbabit yang melarikan diri dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Katanya, mereka perlu menjalani ujian calitan sebelum diarahkan untuk menjalani kuarantin di PKRC ditetapkan.

“Mungkin ada sebahagian daripada mereka yang positif Covid-19. Pasukan keselamatan akan menjalankan operasi mencari mereka di darat mahupun laut.

“Selain itu, laluan utama dari perkampungan Pulau Gaya ke ibu negeri juga dipantau akan sepenuhnya,” katanya.

Hazani berkata, arahan serah diri sudah dikeluarkan terhadap mereka yang masih hilang dan sekiranya enggan berbuat demikian, boleh dikenakan tindakan tegas.

 

Gambar Hiasan

Kampung Pondo adalah antara empat perkampungan di Pulau Gaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 8 hingga 6 Julai lalu.

Tiga lagi penempatan yang terbabit adalah Kampung Kasuapan, Lok Urai dan Kampung Pulau Gaya selepas mencatatkan 215 kes positif Covid-19, sebelum ini.– HMetro

1 Comment