Kluster baharu di Sabah berpunca daripada aktiviti “Game Online”.
17:07 Jul 09, 2021  |  By SabahKini2
Kluster baharu di Sabah berpunca daripada aktiviti “Game Online”.

Berpunca daripada aktiviti "Game Online" tercetusnya kluster baharu Covid-19 di Mukim, Lumadan Beaufort, Sabah.

Kota Kinabalu: Gara-gara bermain game online, tercetusnya kluster baharu Covid-19 di Sabah yang membabitkan beberapa ahli keluarga serta rakan dalam kalangan belia di Mukim Lumadan, Beaufort, semalam

Kluster Lumadan ini tercetus lantaran ketidakpatuhan amalan penjarakan fizikal semasa bermain secara dalam kumpulan, kata jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Katanya, kes indeks adalah seorang belia lelaki berumur 19 tahun yang disahkan positif COVID-19 melalui ujian RTK Antigen di sebuah klinik swasta di pekan Beaufort, pada 29 Jun lalu.

“Hasil saringan kontak rapat, sembilan ahli keluarga dan jiran kes indeks turut didapati positif COVID-19. Kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal ketika bermain permainan secara dalam talian dikenal pasti menjadi punca penularan,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Masidi berkata, kluster itu merekodkan 46 kes positif COVID-19 sejak dikesan pada 29 Jun lalu termasuk dua kes baharu yang dilaporkan semalam daripada 110 saringan yang dijalankan.


Kredit: Infografik Sabahmedia.com

Sementara itu, satu lagi kluster baharu turut dilaporkan di Sandakan semalam yang membabitkan kes penularan COVID-19 dalam kalangan komuniti di Kampung Istimewa, Sandakan.

Masidi berkata, ini kali kedua kampung yang sama menjadi kluster COVID-19 di daerah Sandakan selepas kali pertama dilaporkan pada 14 November tahun lalu.

Beliau berkata, Kluster Istimewa Dua itu tercetus selepas kes indeks iaitu seorang lelaki berumur 48 tahun dikesan positif COVID-19 ketika menjalani saringan bergejala di Klinik Kesihatan Sandakan pada 25 Jun lalu.

“Saringan yang dijalankan terhadap 261 kontak mendapati 27 orang disahkan positif termasuk dua kes baharu, manakala seramai 229 orang didapati negatif dan lima orang lagi masih menunggu keputusan ujian,” katanya.

Sabah semalam merekodkan 279 kes baharu dengan tiga kematian, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 71,468 manakala 203 pesakit pulih menjadikan jumlah yang sembuh ialah 68,739 orang. 


Kredit: Infografik KKM

1 Comment