Kohinoor Kaur bekas ratu cantik tumbuk polis di SJR rupanya kaki dadah!
22:07 Jul 10, 2021  |  By SabahKini2
Kohinoor Kaur bekas ratu cantik tumbuk polis di SJR rupanya  kaki dadah!

Bekas ratu cantik itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan menumbuk Koperal Sharulafirin Sarmadan selain penyalahgunaan dadah bersama rakannya Quek Shen Tying

Bekas ratu cantik, Kohinoor Damodaran Kaittiani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menumbuk anggota polis dan penyalahgunaan dadah.

Turut membuat pengakuan serupa ialah rakannya, Quek Shen Tying, 33, yang juga didakwa atas tuduhan penyalahgunaan dadah.

Mengikut pertuduhan, Kohinoor, 29, yang pernah mendapat tempat ketiga dalam satu pertandingan ratu cantik antarabangsa tujuh tahun lalu didakwa  menggunakan kekerasan jenayah dengan menumbuk Koperal Sharulafirin Sarmadan kira-kira pukul 3 pagi, 8 Julai lalu di Jalan Universiti di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pada tarikh yang sama, kira-kira pukul 2 petang di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, wanita terbabit didakwa menggunakan dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

Sementara itu, Shen Tying yang didakwa secara berasingan dituduh menggunakan THC kira-kira pukul 2.15 petang, pada tarikh dan balai yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chia Xin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datin Raj Preet Kaur.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah selepas mendengar dan mempertimbangkan hujah serta rayuan pihak-pihak terlibat menetapkan jaminan RM3,000 bagi Kohinoor untuk kedua-dua pertuduhan manakala Shen Tying dikenakan ikat jamin sebanyak RM1,500.

Kes membabitkan Kohinoor ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Oktober ini manakala kes rakannya akan disebut pada 1 Oktober 2021.

Sebelum ini tular pihak polis menahan seorang bekas ratu cantik negara selepas wanita itu bertindak merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) dan menumbuk anggota polis bertugas. Kedua-dua wanita berkenaan juga didapati positif dadah jenis ganja.

 

5 Comments