Guan Eng gagal pindah kes rasuah projek terowong ke Mahkamah Tinggi
17:07 Jul 12, 2021  |  By SabahKini2
Guan Eng gagal pindah kes rasuah projek terowong ke Mahkamah Tinggi

Kes rasuah biasanya didengar di Mahkamah Sesyen. Hakim perbicaraan mampu menentukan persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan. Oleh itu perbicaraan rasuah Lim akan bermula di Mahkamah Sesyen esok.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak percubaan bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk memindahkan kes rasuah projek terowong dasar laut dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke mahkamah lebih tinggi.

Hakim Muhammad Jamil Hussin berkata, Lim gagal menunjukkan keadaan luar biasa mengapa kesnya perlu didengar di mahkamah lebih tinggi.

“Kes rasuah biasanya didengar di Mahkamah Sesyen. Hakim perbicaraan mampu menentukan persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan.”

Susulan keputusan itu, perbicaraan rasuah Lim akan bermula di Mahkamah Sesyen esok.

Jamil turut menolak percubaan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan esok sementara menunggu rayuan.

Lim didakwa menggunakan jawatannya sebagai ketua menteri untuk meminta Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli balasan berupa 10% daripada keuntungan projek jalan dan terowong itu.

Bekas menteri kewangan itu turut didakwa mendapatkan RM3.3 juta rasuah untuk melantik syarikat Zarul mengendalikan projek itu.

Beliau turut menghadapi dua pertuduhan melupuskan tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur kepada dua syarikat.

Lim mahu kesnya didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi atas alasan terdapat persoalan undang-undang berkaitan kesahihan Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 30, 53, 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang perlu ditentukan.

Katanya, jika pemindahan itu dibenarkan, beliau boleh membangkitkan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berbanding hanya Mahkamah Rayuan jika ia dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Pihak pendakwaan membantah permohonan pemindahan itu kerana ia bertujuan menghentikan perbicaraan yang dijadualkan bermula esok.

Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pihak pendakwaan.- fmt

Comment