'Dine-in' Sarawak ikut langkah Sabah mulai 14 Julai
06:07 Jul 13, 2021  |  By SabahKini2
'Dine-in' Sarawak ikut langkah Sabah mulai 14 Julai

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya memaklumkan Sarawak akan beralih kepada fasa kedua PPN selepas mengambil kira nilai ambang yang ditetapkan sebelum ini.

KUCHING: ‘Dine-In’ di restoran antara aktiviti yang dibenarkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Kedua di Sarawak berkuat kuasa 14 Julai ini.
Bagaimanapun had bilangan pelanggan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (MLGH).
 
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan Sarawak akan beralih kepada fasa kedua PPN selepas mengambil kira nilai ambang yang ditetapkan sebelum ini.
 
Beberapa garis panduan baharu telah dibuat termasuk membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi bermula dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

Kapasiti tempat kerja hanya dibenarkan 50 peratus melibatkan bahagian pengurusan dan operasi.

Bagaimanapun aktiviti hiburan, pelancongan, sosial, sukan dan rekreasi masih tidak dibenarkan.

Sementara itu, garis panduan untuk aktiviti keagamaan melibatkan rumah ibadah akan ditentukan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Unit Untuk Agama Lain (UNIFOR).
 
Kerajaan Sabah melalui Ketua Menterinya Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan membenarkan dine-in dikuatkuasakan sejak 29 Jun lalu sekalpun berlaku sedikit kontroversi apabila MKN dan JKNS negeri mempersoalkan punca kuasa Ketua Menteri di bawah Akta 342 namun Ketua Menteri bertegas melaksanakan kerana Sabah mempunyai autonomi melaksanakan tindakan perlu di negeri sendiri.
 
 
Comment