Kluster baharu Covid-19 jangkitan komuniti di Sipitang, Sabah
13:07 Jul 16, 2021  |  By SabahKini2
Kluster baharu Covid-19 jangkitan komuniti di Sipitang, Sabah

Seorang tutor wanita berumur 17 tahun mencetuskan kluser baharu di Sipitang, Sabah.

Kota Kinabalu: Satu lagi kluster baharu Covid-19 jangkitan komuniti, Kluster Kampung Melaman di Sipitang yang berpunca daripada seorang tutor wanita yang berumur 17 tahun.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Masidi Manjun, berkata kluster tersebut mula dikesan melalui saringan bergejala terhadap 7 sekeluarga di Klinik Sindumin, 9 Julai lalu selepas 3 hari mengalami demam, sakit kepala dan sakit sendi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Masidi Manjun

“Kes indeks merupakan tutor wanita berumur 17 tahun yang mengajar di rumah keluarga terbabit dan bergejala serupa sejak 26 Jun lepas tetapi tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

“Susulan pengesanan dan saringan kontak yang dijalankan, terdapat pertambahan kes melibatkan kaitan epidemiologi sama iaitu sejarah menghadiri majlis agama di Kampung Melamam. Setakat hari ini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini ialah 37 kes,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 turut berkata, sebanyak 286 kes baharu COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 73,136 kes, dengan terdapat empat kes kematian dilaporkan masing-masing di Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Seramai 284 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif 70,183 orang, manakala seramai 2,079 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 425 orang di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Awam (1,612 orang) dan 42 lagi di pusat tahanan sementara atau penjara, katanya lagi.

Comment