Tiada isu keberkesanan henti Sinovac, kini lebih 40 juta dos vaksin Pfizer digunakan Ogos
04:07 Jul 17, 2021  |  By SabahKini2
Tiada isu keberkesanan henti Sinovac, kini lebih 40 juta dos vaksin Pfizer digunakan Ogos

Pharmaniaga selesai membekal lebih 12 juta dos Sinovac. Kini giliran Pfizer lebih 40 juta dos akan digunakan pada Ogos ini. Oleh itu vaksin Sinovac dihentikan 3 juta lagi sebagai stok simpanan

Pemberhentian pemberian vaksin Sinovac dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah kerana pembekalannya telah selesai dan tiada kaitan dengan soal keberkesanannya, kata Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, Pharmaniaga Bhd telah selesai membekalkan 12 juta dos vaksin keluaran China itu lebih awal daripada jadual asal kepada kerajaan.

“Kami akan menerima keseluruhan penghantaran (vaksin Sinovac) pada hujung bulan ini,” kata Khairy yang menolak spekulasi pemberhentian vaksin Sinovac dalam PICK berkaitan dengan soal keberkesanannya.

Pharmaniaga dalam kenyataan medianya memaklumkan proses pembekalan vaksin Sinovac untuk PICK telah selesai dengan kelompok dos terakhir akan dibekalkan pada 21 Julai ini. Kontrak Pharmaniaga adalah membekalkan sebanyak 12 juta dos vaksin Sinovac secara pengisian dan pembotolan dalam tempoh tujuh bulan iaitu antara Mei dan November 2021.

Khairy dalam sidang media perkembangan PICK secara maya bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pada Jumaat berkata, kerajaan memutuskan untuk menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech bagi PICK mulai bulan depan manakala stok simpanan Sinovac hanya dikhususkan untuk mereka yang mempunyai alahan terhadap vaksin lain.

“Untuk tujuan itu, kerajaan telah menempah tiga juta dos vaksin Sinovac untuk dijadikan stok simpanan. Tempahan ini akan diterima akhir Julai atau awal Ogos ini,” katanya.

Sehingga kini, negara telah menerima 6.66 juta bekalan vaksin jenis Pfizer-BioNTech termasuk kira-kira satu juta dos yang disumbangkan oleh kerajaan Amerika Syarikat baru-baru ini.

45.7 juta dos vaksin Pfizer

Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengesahkan pihaknya menghentikan pengagihan vaksin Sinovac ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kelantan, dan menggantikannya dengan vaksin Pfizer.

Susulan surat yang tular sebelum ini Dr Adham menjelaskan langkah itu diambil kerana jumlah Pfizer jauh lebih banyak di negara ini berbanding Sinovac.

Katanya, sebanyak 45.7 juta dos vaksin Pfizer ditempah kerajaan berbanding hanya 12  juta dos Sinovac.

Menurutnya bukan sahaja Kelantan, vaksin ke negeri-negeri lain juga akan digantikan dengan Pfizer dalam masa terdekat.

"Di Kelantan memang kita beralih kepada Pfizer kerana sebelum ini banyak Sinovac diagihkan kepada negeri itu.

"Bukan sahaja Kelantan, kita akan perluaskan ke negeri-negeri lain juga dalam masa terdekat," katanya

 

 

1 Comment