Kerajaan Sabah perketat SOP sambutan Aidiladha
10:07 Jul 18, 2021  |  By SabahKini2
Kerajaan Sabah perketat SOP sambutan Aidiladha

Menurut Datuk Masidi Manjun berkata, Sabah mencatatkan kes Covid-19 sebanyak 647 berbanding 17 julai sebanyak 326 kes kerana saringan besar-besaran juga kluster tembok

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Aidiladha berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 yang mendadak di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, Sabah hari ini mencatatkan jumlah kes Covid-19 sebanyak 647 berbanding semalam yang mencatatkan sebanyak 326 kes.

Menurutnya, peningkatan besar ini adalah disebabkan saringan besar-besaran yang dilaksanakan ketika ini oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi membendung penularan di komuniti.

“Demi membendung penularan dan peningkatan kes positif di seluruh negeri Sabah, kita mengambil keputusan untuk meminda SOP sedia ada bagi aktiviti sambutan Aidiladha.

“Sebarang rumah terbuka, jamuan, aktiviti kunjung-mengunjungi dan ziarah tanah perkuburan sempena sambutan Aidiladha adalah tidak dibenarkan.

“Bilangan jemaah di masjid atau surau untuk solat sunat Aidiladha selain solat Jumaat dan solat lima waktu dikurangkan sebanyak satu pertiga dari kapasiti ruang atau maksimum 30 orang jemaah yang mana lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Masidi berkata, jumlah pengendali sembelihan binatang korban juga dikurangkan.

“Bilangan pengendali sembelihan binatang korban adalah dikurangkan kepada 15 orang sahaja.

“Selain itu, semua aktiviti perayaan Aidiladha di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan adalah tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun, pindaan SOP ini adalah bersifat sementara sehingga kes harian Covid-19 kembali stabil,” katanya. 

Comment