Penjara Kota Kinabalu, Tawau dominasi jumlah kes positif di Sabah
21:07 Jul 18, 2021  |  By SabahKini2
Penjara Kota Kinabalu, Tawau dominasi  jumlah kes positif di Sabah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes yang tinggi itu juga dilihat sebagai ‘Hari Penjara’ apabila sebanyak 50.3 peratus daripada kes di negeri ini dihasilkan menerusi Penjara Kepayan dan Penjara Tawau.

KOTA KINABALU : Dua penjara di Sabah terus mendominasi jumlah kes positif COVID-19 di negeri ini apabila merekodkan sebanyak 666 kes iaitu peningkatan 19 kes berbanding 647 kes semalam selain mencatatkan dua kes kematian.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes yang tinggi itu juga dilihat sebagai ‘Hari Penjara’ apabila sebanyak 50.3 peratus daripada kes di negeri ini dihasilkan menerusi Penjara Kepayan dan Penjara Tawau.

“Daripada jumlah kes yang direkodkan hari ini, Penjara Kepayan menghasilkan sebanyak 211 kes daripada 278 kes bagi Kota Kinabalu dan Penjara Tawau sebanyak 124 kes daripada 145 kes yang dilaporkan di Tawau.

“Secara keseluruhan 449 kes daripada 666 kes berlaku dikluster-kluster sedia ada yang sudah pun diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),”katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi berkata, sebanyak 65.3 peratus atau 435 kes pesakit positif berada dalam kategori tahap pertama (tidak bergejala).

Katanya, bagi kategori tahap dua (bergejala tanpa radang paru-paru) pula adalah sebanyak 225 kes atau 33.8 peratus.

“Ini bermakna 99 peratus mereka yang disahkan positif hari ini hanya perlu menjalani rawatan di PKRC (Pusat Kuarantin & Rawatan Covid) dan tidak perlu dimasukkan di hospital,” katanya. -SM

1 Comment