Kudat : Dua beranak ditemui lemas ketika keluar memancing
14:07 Jul 19, 2021  |  By SabahKini2
Kudat : Dua beranak ditemui lemas ketika keluar memancing

2 beranak lemas ketika keluar memancing di Sungai Karang, Kudat.

Kudat: Dua beranak yang dilaporkan hilang pada jumaat lalu akhirnya ditemui lemas semalam ketika keluar memancing di Sungai Karang.

Mangsa Jobik Mokim berumur 47 tahun dan anak lelakinya Nick Hezron, 18 tahun terdampar di kawasan persisiran pantai berdekatan pusat peranginan Tampakan, ditemui orang awam pada 12 tengah hari.

 

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa lemas - Foto ihsan Bomba

Mohd Affendy K Ramin, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysiaa (JBPM) Sabah, berkata kedua mangsa dipercayai hilang selepas bot mereka ditemui tersadai di Pantai Kampung Lok Dangkaan, Pitas, pada Sabtu lalu.

Katanya lagi, laporan dibuat oleh keluarga mangsa kepada pihak berkuasa, operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan kerjasama polis serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Bomba memulakan operasi pada 7.51 pagi semalam di sekitar kawasan pesisir pantai dan kawasan bakau berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Bagaimanapun JBPM menerima info penemuan mayat di pesisir pantai berhampiran pusat peranginan dan terus bergerak ke lokasi dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.

Affendy turut berkata, sebaik tiba di lokasi mangsa pertama yang dipercayai Jobik Mokim (47) ditemui diangkat menggunakan bot JBPM.

Katanya, beberapa minit selepas itu, pasukan bomba menemui seorang lagi mangsa, iaitu Nick Hezron (18) dan terus dinaikkan ke bot pasukan polis dengan dibantu bomba dan APMM.

“Kedua-dua mangsa terus dihantar ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) untuk diserahkan kepada polis dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan pada 1.55 tengah hari,” katanya lagi

4 Comments