23 buah rumah musnah terbakar, 50 mangsa dipindahkan ke PPS
15:07 Jul 19, 2021  |  By SabahKini2
23 buah rumah musnah terbakar, 50 mangsa dipindahkan ke PPS

50 mangsa dipindahkan ke PPS, lantaran kebakaran memusnahkan 23 rumah di Kampung Tanjung Aru Baru semalam

KOTA KINABALU: 23 buah rumah yang dibina atas air di Kampung Tanjung Aru Baru musnah lantaran berlakunya kebakaran pada jam 4.32 pagi kelmarin. Seramai 50 orang menjadi mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

 

Kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan semalam memaklumkan mangsa yang terdiri daripada 13 keluarga itu dipindahkan ke PPS Dewan Luyang.

Menurut kenyataan itu jawatankuasa berkenaan bersama Angkatan Pertahanan Awam dan pihak terlibat sedang mengemas kini data mangsa bagi melancarkan pengurusan penyaluran bantuan berikutan masih terdapat beberapa mangsa sedang mendaftar di PPS berkenaan semalam.

Kenyataan itu turut memaklumkan 39 mangsa daripada 13 keluarga yang terlibat dalam kebakaran di kampung sama pada 6 Julai lepas, masih ditempatkan di PPS Dewan Sembulan.

Kebakaran pada 4.32 pagi kelmarin merupakan kejadian ketiga berlaku dalam tempoh singkat di kampung itu, dengan kejadian pertama pada 6 Julai lepas yang mengakibatkan 10 rumah musnah manakala 33 rumah musnah dalam kejadian pada 25 Mei.

Kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru

Sementara itu mangsa kebakaran, Junaidi Elyas, 41, berkata dia mengetahui tentang kejadian itu apabila jirannya mengetuk pintu rumahnya dengan kuat dan memberitahu supaya segera keluar menyelamatkan diri bersama keluarga.

“Saya terus tarik dua anak saya (berusia lapan dan 12 tahun) keluar rumah dan beritahu isteri cepat ikut sekali, kemudian saya patah balik ambil dokumen penting dan barang-barang kecil, itu sahaja dapat diselamatkan, barangan lain semua terbakar,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya.

Suri rumah, Norasmah Sani, 63, pula berkata dia sedar mengenai kebakaran itu apabila terdengar jiran-jiran kecoh berteriak, dan ketika membuka jendela, dia melihat api sudah marak di rumah jiran tidak jauh dari rumahnya.

“Saya terus beritahu suami dan kami bergegas keluar dari rumah, sempat juga selamatkan barang elektrik dan barangan berharga, tetapi rumah hangus terbakar…memang sedih kerana Aidiladha pun tidak lama lagi, harap dapat bantuan segera untuk bantu kami di sini,” katanya lagi. - FMT

4 Comments