Kelewatan vaksin, pemimpin Sabah balun KJ Menteri Penyelaras PICK
22:07 Jul 20, 2021  |  By SabahKini2
Kelewatan vaksin, pemimpin Sabah balun KJ Menteri Penyelaras PICK

Kes harian Sabah terus meningkat lebih 600 kes empat hari berturut-turut. Vaksin pula terlewat hantar ke Sabah. Hari ini pemimpin Sabah terus mengkritik KJ Menteri Penyelaras PICK kerana kelewatan vaksin dan layanan 'double standard' KJ kepada Sabah.

Sabah direkodkan sebagai negeri terendah menerima suntikan vaksin COVID-19 apabila mencatatkan hanya 12.8 peratus bagi pemberian dos pertama dan 9.4 peratus untuk dos kedua sebagaimana direkodkan 19 Julai.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), Sabah menerima sebanyak 877,268 dos. 511,198 dos pertama dan 366,070 dos kedua.  Manakala jumlah vaksin sehari ialah  20,622 dos.

Sabahkini2 semalam mempersoalkan tahap rendah vaksin di Sabah susulan janji penghantaran vaksin sekitar 1 juta dos bulan julai dan 1.2 juta dos bulan Ogos namun penghantaran vaksin hanyalah ‘indah khabar dari rupa’.

[ARTIKEL BERKAITAN- Sabah ‘Second Class’, KJ ‘capati’ agihan vaksin Sabah! ]

Hari ini beberapa pemimpin negeri dan parti turut mempertikaikan ‘pencapaian’ program vaksinasi di Sabah sebagai masih terendah berbanding 3.9 juta populasi penduduk negeri Sabah.  Rakyat Sabah dewasa yang menerima vaksin ialah 2.9 juta orang.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sebelum ini yakin imuniti kelompok akan dicapai menjelang disember 2021. Bagaimanapun jika sasaran harian tidak mencecah 30 hingga 50 ribu sehari di Sabah ia dikhuatiri menggagalkan sasaran itu.

Pelbagai pihak menyalahkan Khairy Jamaluddin Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berhubung kelewatan itu kerana tidak menjadikan pemberian vaksin di Sabah sebagai keutamaan sebagaimana Negeri Sarawak. Alasan Negeri Sarawak bakal menghadapi Pilihanraya Negeri akan datang sesuatu yang sangat tidak berasas.

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak Adun Usukan yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di dalam facebooknya hari ini menyeru kerajaan pusat supaya menumpukan perhatian untuk proses pemberian vaksin di Sabah.

Beliau tidak berpuas hati kadar vaksinasi di negeri Sabah yang tertinggal jauh ke belakang berbanding negeri lain. Menggunakan data 17 julai beliau berkata jumlah pendaftaran vaksin di Sabah hanya 35.9 peratus iaitu seramai 990,681, dan jumlah pemberian vaksin dos pertama adalah 475,084 iaitu 12.2 peratus.

“Kerajaan wajib melipatgandakan usaha dan tenaga untuk percepatkan kadar vaksinasi. Sekurang-kurangnya sasaran 50,000 dos vaksin sehari,” katanya

Hantar segera vaksin ke Sabah

Turut mempersoalkan kelewatan penerimaan vaksin ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin.

“Negeri ini menjadi satu-satunya negeri yang jauh ketinggalan dalam pemberian vaksin COVID-19 dibawah PICK berbanding negeri-negeri lain khususnya di Semenanjung.

“Pengagihan bekalan vaksin juga perlu lebih adil dan seimbang dengan jumlah populasi penduduk Sabah yang layak untuk divaksin iaitu seramai 2,758,400 orang,” katanya dalam dalam satu kenyataan hari ini.

KJ perlu bertanggungjawab

Sementara itu Ketua Pemuda Parti Cinta Sabah (PCS) Ag Zakariah Ibrahim turut menegur sikap kerajaan pusat khususnya Khairy Jamaluddin agar bersikap lebih adil bagi menyalurkan bekalan vaksin ke Sabah sama seperti Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau mempersoalkan jika hanya 12.8 peratus rakyat Sabah divaksinasi bagaimana dengan status lebih 82 peratus lagi rakyat Sabah tidak menerima vaksin. 

“Kerajaan sering kali bersuara agar bertindak membuat keputusan berpandukan kepada fakta dan sains dan sebanyak 82 peratus rakyat Sabah masih belum divaksin berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Adakah kerajaan pusat tidak mempunyai perasaan empati kepada kami di Sabah yang berdepan situasi ini lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu,” katanya.

Justeru beliau menggesa Khairy Jamaluddin untuk memberikan vaksin kepada Sabah dengan kadar segera kerana jika terlambat boleh mengundang padah kepada nyawa rakyat.

Sabah warganegara kelas kedua?

Turut lebih keras menegur kerajaan ialah Fadilah Sarbi, Ketua Puteri UMNO Sabah yang tidak bersetuju program Walk in vaksin dibenarkan kepada warga asing atau individu tiada dokumen sedangkan rakyat sendiri belum pun mendapat vaksin. Di Semenanjung nampaknya banyak perkara dibolehkan. Bagaimana dengan vaksin di negeri Sabah?. Katanya rakyat Sabah bukan kelas kedua. 

"Kenapa Sabah tidak begini? Kalau saya cakap kasar sikit nanti ada terasa, adakah kita warga negara kelas kedua? Dengan bilangan Covid-19 semakin meningkat, golongan warga emas belum selesai pun dos pertama.

Berita begini tidak menggembirakan saya sebagai rakyat Sabah. Maaf kalau tidak betul kita kena cakap tidak betul. Bukan di sana (Semenanjung) sahaja mahu selamat dan divaksin. Belum lagi isu tiada dokumen 

Katanya  rakyat Sabah menuntut hak mereka agar program vaksinasi disegerakan demi kebaikan rakyat Sabah.

Setakat ini KJ tidak tidak memaklumkan status penghantaran vaksin ke Sabah namun Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, penghantaran lebih banyak vaksin COVID-19 ke Sabah dijangka dilaksanakan pada akhir bulan ini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin berkata pihaknya masih menunggu kedatangan vaksin yang diperuntukkan ke negeri ini memandangkan keutamaan diberikan kepada negeri yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Sejak empat hari berturut-turut kes Sabah kekal melebihi 600 kes. Mungkin Kerajaan Pusat akan menghantar vaksin jika kes di Sabah mencatatkan rekod lebih 1500 sehari. Macam biasa 'Bila terhantuk baru tengadah!'.

 

6 Comments