Lelaki menceroboh kediaman guru, patah tangan selepas terjun dari tingkat 3
16:07 Jul 21, 2021  |  By SabahKini2
Lelaki menceroboh kediaman guru, patah tangan selepas terjun dari tingkat 3

Bagi mengelak ditahan, seorang lelaki sanggup terjun dari tingkat 3 bangunan kediaman guru, ketika cuba melarikan diri.

LABUAN: Seorang lelaki terjun dari tingkat 3 bangunan kediaman guru Sekolah Kebangsaan Pekan 1, ketika cuba melarikan diri daripada ditahan, semalam. Akibat cubaannya itu, suspek mengalami patah tangan kiri, cedera di bahagian kiri pinggang dan kepala.

Kejadian berlaku jam 2.20 petang, suspek yang berumur 33 tahun menceroboh masuk ke kediaman guru sebelum disedari oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan mendapati, pengadu seorang penjawat awam bersama dua rakannya ke bangunan berkenaan untuk membuat pemeriksaan selepas menerima maklumat orang awam.

Katanya, ketika berada di tingkat tiga bangunan itu, pengadu mendapati sesuatu yang mencurigakan di sebalik tandas yang tertutup sebelum bertindak menolak pintu.

“Suspek yang dipercayai sedang bersembunyi dalam tandas terkejut lalu memanjat tingkap tandas dan keluar ke beranda luar.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga bangunan berkenaan bagaimanapun dia gagal apabila mengalami kecederaan akibat perbuatannya itu,” katanya dalam kenyataan media.

Ahmad berkata, sepasukan polis yang tiba di lokasi sebaik menerima maklumat berkenaan kejadian itu menemui beg serta alat berupa ‘kuku kambing’.

“Suspek yang cedera di kepala, patah tangan kiri dan luka di bahagian kiri pinggang kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Keadaan suspek stabil dan semakan mendapati dia tidak mempunyai pekerjaan dan memiliki 3 rekod jenayah lampau berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. – HMetro

Comment