Terpaksa tahan sakit 20 minit, jari tersangkut cincin buatan
17:07 Jul 21, 2021  |  By SabahKini2
Terpaksa tahan sakit 20 minit, jari tersangkut cincin buatan

Lelaki tahan derita 20 minit kerana cincin buatan tersangkut dijari.

LAHAD DATU : Akibat cincin buatan yang tersangkut pada jari manis, seorang lelaki terpaksa menahan sakit hampir 20 minit. Kejadian tersebut berlaku di Kampung Paris 3, Kota Kinabatangan, kelmarin.

Foto JBPM Sabah

Kejadian berlaku pada jam 3 petang, jarinya mula membengkak menyebabkan cincin yang dipakainya tersangkut, sebelum dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan bantuan

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.06 petang.

Menurutnya, sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Lahad Datu, keadaan kesihatan mangsa terkawal dan operasi memotong cincin terus dijalankan.

“Anggota bomba memotong cincin berkenaan menggunakan alat pemotong khas bagi mengelakkan kecederaan terhadap mangsa.

“Selepas hampir 20 minit berusaha akhirnya cincin dapat dipotong dan dilepaskan dari jari mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Foto JBPM Sabah

Menurut Mohd Affendy, operasi ditamatkan sebaik cincin berjaya dibuka dan mangsa terus mendapatkan rawatan lanjut di hospital berkenaan.

Dalam pada itu, pihak bomba menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan peka dalam pemakaian cincin.

Katanya, sekiranya terdapat tanda-tanda jari akan membengkak, cincin hendaklah dilepaskan dari jari dengan segera untuk mengelakkan ia tersangkut.

Comment