Annuar Adun Liawan syor guna vaksin dos tunggal CanSino di luar bandar
19:07 Jul 21, 2021  |  By SabahKini2
Annuar Adun Liawan syor guna vaksin dos tunggal CanSino di luar bandar

Adun Liawan mencadangkan CanSino bagi mudahkan rakyat luar bandar mendapat vaksin. CanSino amat sesuai untuk penduduk kawasan jauh dan terpencil. Memudahkan perjalanan, menjimatkan masa dan kos.

Kerajaan Persekutuan digesa memberi keutamaan kepada penduduk pedalaman untuk memperoleh bekalan vaksin dos tunggal CanSino yang diluluskan baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan Datuk Annuar Ayub Aman berkata penduduk luar bandar tinggal di pelbagai lokasi berjauhan dengan kemudahan jalan yang amat daif.

“Keutamaan bekalan vaksin kepada penduduk pedalaman dapat mengatasi kos pengangkutan yang tinggi untuk ke bandar,” katanya.

Annuar yang juga Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Liawan menyifatkan pemberian vaksin dos tunggal kepada penduduk luar bandar lebih praktikal kerana tidak perlu menunggu jadual suntikan kedua.

Sebelum ini Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin menyatakan sebanyak 3.5 juta dos tunggal vaksin Cansino dari China bakal sampai Julai ini.

Annuar menegaskan selaku wakil rakyat dari pedalaman, pihaknya amat menyedari betapa penduduk kawasan-kawasan terpencil perlu diberi vaksin sehingga ke perkampungan mereka untuk mengatasi masalah perjalanan yang jauh malah menjimatkan masa dan kos.

“Kita perlu memperbanyakkan lagi program outreach vaksinasi dan pemberian vaksin dos tunggal patut diperbanyakkan ke seluruh pelosok perdalaman,” katanya.

15 Jun lalu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan kerajaan memberikan kelulusan dua lagi vaksin, iaitu yang dibangunkan CanSino Biologics di China dan Johnson & Johnson di Amerika Syarikat, untuk digunakan di Malaysia.

Dua jenis vaksin COVID-19 ini hanya memerlukan satu suntikan dos tunggal

Oleh itu Annuar meminta penduduk pedalaman agar tidak risau dan ragu tentang keberkesanan vaksin dos tunggal seperti CanSino kerana vaksin itu disahkan selamat oleh pihak berkuasa farmasi negara (NPRA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Annuar berharap saranannya diberi pertimbangan serius oleh kerajaan pusat khususnya Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin bagi menjayakan program imunisasi peringkat negeri yang dilihat perlahan di negeri Sabah.

Sejak semalam beberapa pemimpin negeri termasuk Menteri cabinet Sabah mempersoalkan kelewatan penghantaran vaksin ke Sabah menyebabkan program vaksin Sabah terganggu.

Setakat 20 Julai 2021 dilaporkan hanya 13% penduduk Sabah sudah menerima suntikan dos pertama, manakala 9.4% lagi sudahpun melengkapkan suntikan dos kedua Vaksin Covid-19

Menurut data yang dikongsikan CITF hari ini, seramai 4,769,909 individu iaitu 14.6 peratus populasi rakyat di negara ini telah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 hingga 11.59 malam tadi. 

Ini sekaligus menyaksikan Sabah merupakan negeri terendah di Malaysia yang menerima suntikan Vaksin di Malaysia dan sekaligus mengundang kebimbangan Masyarakat dan Pemimpin di Sabah.

 

 

 

 

1 Comment