11 individu positif Covid-19 di Parlimen- DG KKM
16:07 Jul 30, 2021  |  By SabahKini2
11 individu positif Covid-19 di Parlimen- DG KKM

Berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan, didapati kedua-dua kes tersebut dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen

PUTRAJAYA - Seramai 11 individu termasuk petugas dikesan positif Covid-19 dalam saringan yang dilakukan di Parlimen pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 10 kes dikesan positif melalui RTK-AG Saliva Test Kit dan bakinya menerusi RT-PCR.

"Dua daripada mereka dikesan bergelaja ringan manakala selebihnya tidak bergejala," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dimaklumkan terdapat dua kes positif Covid-19 pada jam 12.30 tengah hari.

"Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen pada Isnin sehingga Rabu dan dilaporkan positif Covid-19 pada 29 Julai 2021 melalui ujian pengesahan RT-PCR yang dijalankannya di sebuah fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk serta selesema," katanya.

Beliau berkata, kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi sama dengan menggunakan ujian kendiri RTK- AG Saliva kerana beliau mengalami gejala batuk.

"Berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan, didapati kedua-dua kes tersebut dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua yang hadir dan berada di Parlimen mulai 26 Julai dinasihati agar menjalani ujian saringan.

Comment