Covid-19 sudah berada dalam komuniti, 'Lockdown' tidak lagi berkesan tangani Covid-19
11:07 Jul 31, 2021  |  By SabahKini2
Covid-19 sudah berada dalam komuniti, 'Lockdown' tidak lagi berkesan tangani Covid-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ketika ini, kunci melawan dan mengurus pandemik adalah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk.

KOTA KINABALU: Strategi menangani penularan Covid-19 tidak lagi boleh bergantung kepada sekatan pergerakan (lockdown) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semata-mata.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ketika ini, kunci melawan dan mengurus pandemik adalah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk. 

Pada masa ini, kapasiti pemberian vaksin yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sudah sampai ke tahap 50,000 dos sehari dan dipertingkat sehingga 60,000 dos sehari bergantung kepada bekalan vaksin.

“Rakyat sudah agak lesu dalam keadaan terkurung dan mungkin sudah agak lalai mematuhi SOP. Pematuhan SOP secara total membantu kita mengelak daripada dijangkiti. 

“Vaksinasi memberi kita kekebalan daripada jangkitan virus sehingga 90 peratus. Kita masih boleh dijangkiti tetapi kesannya ringan dan tidak memerlukan rawatan hingga masuk ke hospital.

“Lockdown semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah kes jangkitan yang semakin bertambah. Ia sekadar satu kaedah dan bukan satu-satunya jalan keluar daripada jangkitan yang bertambah,” katanya dalam satu kenyataan semalam

Masidi berkata, dahulu tiada pilihan jadi terpaksa melaksanakan lockdown kerana vaksin belum ada. 

Ketika ini, peningkatan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk Sabah bagi mencapai kelompok imuniti dan penguatkuasaan pematuhan SOP secara berkesan terbukti lebih berkesan menurunkan jumlah jangkitan setiap hari dalam suasana jangkitan yang sudah berubah. 

Pendekatan ini sudah terbukti berkesan dan apa yang perlu adalah bekalan vaksin yang mencukupi dan jadual penghantaran yang tidak terganggu.

Tambah beliau, sekarang jangkitan sudah berada dalam komuniti. Lockdown atau PKPD secara berterusan hanya melumpuhkan ekonomi dan jika dilihat banyak syarikat golong tikar atau rugi besar. 

“Malah, ramai penduduk kita hilang punca pendapatan dan sekarang bergantung kepada bantuan kerajaan. 

“Mereka mahu berkerja semula untuk menyara keluarga dan kemampuan Kerajaan untuk terus memberi bantuan dan subsidi sudah terhad. Maka, Kita perlu mengimbangi hidup dan kehidupan,” katanya

23 Comments