Pegang Erat Mayat Rakan, Elak Dihanyut Arus
16:08 Aug 06, 2021  |  By SabahKini2
Pegang Erat Mayat Rakan, Elak Dihanyut Arus

Bot mangsa dilanggar dari belakang sehingga pecah pada bahagian belakang, dan kedua-dua mangsa tercampak, manakala suspek melarikan diri.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki memegang erat rakannya yang parah sambil berpaut pada bot selepas bot dinaiki mereka dilanggar sebuah bot lain di perairan antara Pulau Mamutik dan Pulau Sulug, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun rakannya, Abdul Hasyim Onong, 35, yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Edhar Ahali, 35, yang turut cedera di kepala selamat dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik swasta.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan mendapati kedua-dua mangsa dikatakan bertolak dari rumah mereka di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, jam 10 malam, Rabu lalu, untuk memancing berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, sebaik selesai memancing pada 2.40 pagi, mereka yang dalam perjalanan pulang dilanggar dari arah belakang oleh sebuah bot hingga pecah pada bahagian belakang.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke laut manakala bot yang melanggar melarikan diri.

“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mangsa yang cedera kemudian berpaut di tepi bot sambil menarik badan rakannya yang sudah meninggal dunia sehingga diselamatkan oleh beberapa nelayan kira-kira jam 6 pagi.

“Mangsa dan rakannya yang meninggal dunia kemudian dibawa pulang ke rumah mereka. Mangsa yang selamat menerima rawatan sebelum membuat laporan polis.

“Mangsa yang meninggal dunia kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, anggota polis kemudian menjalankan siasatan dan mengesan bot suspek dalam kejadian itu namun suspek sudah melarikan diri.

“Polis merampas sebuah pam bot bersama enjin yang dipercayai terbabit dalam kes ini untuk tindakan lanjut dan siasatan diteruskan.

“Usaha untuk mengenali suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan iaitu mengendalikan perahu dengan gopoh,” katanya. – HMetro

Comment