UMNO Sabah kekal sokong kerajaan GRS, Ketua Menteri Hajiji
11:08 Aug 07, 2021  |  By SabahKini2
UMNO Sabah kekal sokong kerajaan GRS, Ketua Menteri Hajiji

UMNO Sabah berpendirian terus kekal dan menyokong GRS di bawah kepemimpinan Datuk Seri Hajiji Noor. Pendirian itu perlu dihormati semua pihak demi kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat serta negeri Sabah.

KOTA KINABALU - Politik negara terus panas. Menteri UMNO letak jawatan, beberapa orang Majlis Tertinggi UMNO yang ada dalam GLC meletak jawatan, kenyataan demi kenyataan Ketua Bahagian UMNO disetiap negeri dikeluarkan. Negeri-negeri yang dibentuk PN dengan UMNO sebagai Menteri Besar seperti Johor, Perak dan Melaka kelihatan goyang. Kenyataan dikeluarkan 'tidak' tetapi Kerajaan Negeri masih bertahan.

UMNO Sabah yang berdiam diri sejak tercetusnya isu MT UMNO menarik sokongan kepada Muhyiddin dan PN akhirnya memberi kenyataan berbeza dengan negeri-negeri lain dengan  menjelaskan pendirian UMNO Sabah untuk terus kekal dan menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor daripada Bersatu, Perikatan Nasional.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada malam Jumaat, UMNO Sabah turut menyatakan harapan agar pendirian itu dihormati semua pihak demi kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat serta negeri Sabah.

"Sebagai adik bongsu berautonomi kepada UMNO Malaysia, apa juga keputusan dan ketetapan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti akan sentiasa dihormati dan diakuri oleh UMNO Sabah dan disesuaikan dengan kuasa autonomi UMNO Sabah.

"Mandat yang diberikan rakyat kepada UMNO Sabah dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) lalu akan dihormati, diperkukuh dan dimatangkan.

"Oleh itu, UMNO Sabah berpendirian untuk terus kekal dan menyokong GRS di bawah kepemimpinan Datuk Seri Hajiji Noor," katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan, UMNO Sabah menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku ketua utama negara supaya semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.

"Seperti termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, semua saf kepemimpinan dan ahli UMNO Sabah menumpahkan sepenuh taat setia kepada raja-raja Melayu dan berikrar untuk terus mendukung serta memayungi Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri-negeri," jelas beliau.

Sebelum ini berulang kali Bung Moktar berkata UMNO kekal bersama Kerajaan GRS menghormati mandat rakyat. Begitu juga Datuk Seri Haji Hajiji Mohd Noor Ketua Menteri mengulangi GRS terus kukuh.

[ARTIKEL BERKAITAN- UMNO Sabah Kekal Bersama GRS – Bung Moktar

[ARTIKEL BERKAITAN- GRS beri jaminan Kerajaan Sabah terus utuh 

 

 

2 Comments