Peningkatan kes Covid-19 di Sabah berpunca daripada 2 kluster sedia ada.
15:08 Aug 09, 2021  |  By SabahKini2
Peningkatan kes Covid-19 di Sabah berpunca daripada 2 kluster sedia ada.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata dua kluster sedia ada itu ialah Kluster Gambaron 2 di Telupid dan Kluster Pauh di Kinabatangan.

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan 1,379 kes positif COVID-19 semalam dengan 128 daripadanya dikesan menerusi dua kluster sedia ada di Telupid dan Kinabatangan, menjadikan kumulatif 93,835 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah / Datuk Masidi Manjun

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kedua-dua kluster sedia ada itu ialah Kluster Gambaron 2 di Telupid yang merekodkan 68 kes dan Kluster Pauh di Kinabatangan dengan 60 kes sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes harian di negeri itu semalam.

“Secara keseluruhannya, saringan kontak rapat menyumbang kes baharu terbanyak iaitu 752 kes atau 54.53 peratus, saringan bergejala (265), saringan kluster (172), saringan bersasar (99) dan lain-lain saringan (91). 

“Terdapat 17 kes melibatkan OKT (Orang Kena Tahan) sama ada di penjara atau pusat tahanan sementara Imigresen,” katanya dalam kenyataan semalam.

Masidi yang juga jurucakap rasmi kerajaan Sabah berkenaan COVID-19 berkata penambahan kes baharu dikesan di kawasan bandar menunjukkan jangkitan mudah terjadi di tempat kerja dan semasa interaksi sosial, justeru rakyat digesa mematuhi prosedur operasi standard terutama mengamalkan penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka selain tidak keluar rumah kecuali perlu.

Sementara itu, Masidi berkata seramai 463 pesakit COVID-19 di Sabah sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan kumulatif 81,713 orang.

Beliau berkata seramai 4,663 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,083 orang di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Awam (3,340), pusat tahanan sementara dan penjara (233) manakala tujuh orang di fasiliti swasta. – BERNAMA

1 Comment