Dua lelaki ditahan sembunyi rokok seludup dalam tong ikan
16:08 Aug 09, 2021  |  By SabahKini2
Dua lelaki ditahan sembunyi rokok seludup dalam tong ikan

Hasil pemeriksaan di bahagian ruang belakang pacuan empat roda itu terdapat satu tong ikan besar dan apabila diperiksa, sebanyak 36 bungkus plastik merah dan 12 bungkus plastik hitam ditemui berisi rokok seludup.

TAWAU: Taktik dua lelaki menyembunyikan rokok tanpa cukai di dalam tong ikan untuk diseludup tidak berjaya apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Merotai, Kalabakan pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, dua lelaki berusia 36 dan 51 tahun yang menaiki sebuah pacuan empat roda itu ditahan bersama 307,200 batang rokok dalam serbuan Op Kontraban.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dua lelaki terbabit ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan di bahagian ruang belakang pacuan empat roda itu terdapat satu tong ikan besar dan apabila diperiksa, sebanyak 36 bungkus plastik merah dan 12 bungkus plastik hitam ditemui berisi rokok tanpa cukai.

Kenderaan pacuan empat roda yang dibawa kedua lelaki untuk menyeludup rokok tanpa cukai. - Foto Sinar Harian 

Kenderaan pacuan empat roda yang dibawa dua lelaki turut menyeludup rokok tanpa cukai.

"Pemeriksaan terhadap tiga lagi tong ikan bersaiz kecil terdapat pelbagai jenis ikan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Katanya, rampasan rokok bernilai RM251,904 dan kenderaan bersama dua lelaki terbabit dibawa ke Batalion 14 PGA Tawau untuk tindakan lanjut.

"Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai RM335,355.

"Kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya. - Sinar Harian

 

2 Comments