Ibu terkejut anak meninggal dunia berdekatan trek joging di Tamparuli
18:08 Aug 09, 2021  |  By SabahKini2
Ibu terkejut anak meninggal dunia berdekatan trek joging di Tamparuli

Hancur hati seorang ibu apabila anaknya ditemui meninggal dunia berhampiran trek joging yang ditemui penduduk semalam.

TUARAN: Luluh hati seorang ibu sebaik dimaklumkan penemuan mayat anak lelakinya yang ditemui penduduk berhampiran trek joging di Pekan Tamparuli, di sini, semalam.

Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Etah, 78, terkejut selepas dimaklumkan mayat anaknya, Richard Amplos, 51, ditemui seorang penduduk.

“Awalnya saya dimaklumkan terdapat penemuan mayat sebelum dikatakan anak sudah meninggal dunia.

“Saya segera ke lokasi tidak jauh dari rumah dan terkejut melihat mayat anak sendiri,” katanya.

Menurutnya, kali terahir dia melihat anaknya yang keluar rumah untuk ke Pekan Tamparuli adalah pada 6 Ogos lalu di Kampung Bontoi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim yang mengesahkan kejadian berkata, siasatan awal mendapati seorang penduduk yang juga pengadu berjalan kaki menggunakan laluan trek joging menuju ke laluan belakang bangunan Pejabat Daerah Tamparuli terhidu bau busuk sebelum menemui mayat terbabit.

“Mayat mulai reput dan membusuk itu ditemui dalam keadaan terbaring di atas rumput bersebelahan laluan trek joging sebelum pengadu bergegas ke Balai Polis Tamparuli untuk membuat laporan,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik dan dihantar polis ke Hospital Tuaran untuk proses bedah siasat serta ujian Covid-19.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan punca sebenar,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hamizi memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran atau balai berhampiran. – HMetro

1 Comment