Lebih 200 batang kayu bakau ditebang secara haram dirampas
15:08 Aug 13, 2021  |  By SabahKini2
Lebih 200 batang kayu bakau ditebang secara haram dirampas

JHL, TTS dan WWF berjaya merampas lebih 200 batang kayu bakau dalam Op Bersepadu Khazanah melalui kegiatan penebangan kayu bakau secara haram di Beluran, kelmarin.

BELURAN: Kegiatan penebangan kayu bakau secara haram dipatahkan dengan lebih 200 kayu dirampas dalam operasi Op Bersepadu Khazanah di hutan simpan Sungai Sugut, Pulau Jambongan, Beluran, kelmarin.

Tindakan itu dilakukan pasukan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah yang melakukan operasi pemeriksaan jam 2.33 petang.

Operasi Bersepadu itu turut disertai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Taman – Taman Sabah (TTS) dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejayaan ini hasil kerjasama daripada semua jabatan serta maklumat awam dan risikan.

Katanya, ketika pemantuan dijalankan, pasukan operasi menemui longgokan kayu bakau berhampiran sempadan hutan simpan.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 200 batang kayu bakau ditebang secara haram. Ia kemudian disita untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal, kita percaya semua kayu ini dipercayai untuk diseludup keluar negara jiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, tiada tangkapan dilakukan dan semua kayu bakau itu diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Hutan 1968 dan Peraturan-Peraturan Hutan 1969,” katanya. – Asiatimes

3 Comments