Kabinet Sudah Letak Jawatan, Kata KJ
14:08 Aug 16, 2021  |  By SabahKini2
Kabinet Sudah Letak Jawatan, Kata KJ

“Kami tetap teguh dan bangga dengan anda presiden. Terima kasih di atas perkhidmatan dan kepimpinan anda. Kita akan kembali lebih kuat, Insya-Allah,” kata KJ.

PUTRAJAYA: Kabinet sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Khairy Jamaluddin.

Dalam catatan di Instagram, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Kabinet Muhyiddin Yassin turut berterima kasih kepada rakyat yang memberi peluang kepadanya untuk berbakti kepada negara.

“Kabinet sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kami kepada Agong. Terima kasih untuk peluang itu untuk berbakti kepada negara. Semoga Tuhan merahmati Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali memberi bayangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah selama 17 bulan akan “terkubur” selepas Jemaah Menteri selesai mengadakan mesyuarat di Perdana Putra, Putrajaya, pagi tadi.

“Alhamdulillah. Selesai mesyuarat Kabinet terakhir kerajaan Perikatan Nasional pagi ini. Perdana Menteri akan bergerak untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong. Tawakal kepada Allah selepas bertekad seusai mesyuarat,” katanya di Facebook.

Kenderaan membawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memasuki perkarangan Istana Negara melalui pintu utama pada 12.23 tengah hari tadi.

Dilaporkan Muhyiddin ke Istana Negara hari ini untuk menyerah surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Turut menguatkan lagi desas-desus itu apabila Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan dan pentadbiran Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Kami tetap teguh dan bangga dengan anda presiden. Terima kasih di atas perkhidmatan dan kepimpinan anda. Kita akan kembali lebih kuat, Insya-Allah,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri dilaporkan akan mengadakan sidang media khas pada 2 petang ini susulan perkembangan terbaharu kedudukan Muhyiddin. – FMT

1 Comment