Sabah menyambut baik bantuan daripada AS
15:08 Aug 17, 2021  |  By SabahKini2
Sabah menyambut baik bantuan daripada AS

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan tersebut akan melengkapkan program perlindungan hidupan liar yang sedang dilaksanakan di negeri Sabah.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah menyambut baik janji Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D. Mcfeeters untuk menyumbang AS1 juta sebagai usaha pemuliharaan hidupan liar di Sabah.

Komitmen itu disuarakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam pertemuan secara maya dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D Mcfeeters.

Katanya, bantuan berkenaan juga akan melengkapkan program perlindungan hidupan liar yang sedang dilaksanakan di negeri ini.

"Mcfeeters turut menawarkan kerjasama bersama dalam konservasi hutan yang merujuk kepada program Heart of Borneo (HoB), inisiatif konservasi rentas sempadan secara meluas hingga ke Brunei Darussalam dan Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menyampaikan penghargaan kepada Mcfeeters ketika berhubung secara maya.

Terbaharu dalam kerjasama dua hala itu, Amerika menyumbang sebanyak satu juta dos vaksin kepada Malaysia dan menjanjikan tambahan bantuan COVID-19 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia.

"Kami berterima kasih dengan semua bantuan yang diberikan oleh Amerika Syarikat kepada Malaysia dan Sabah dalam bidang pendidikan, pemuliharaan alam semula jadi dan yang terbaharu bantuan untuk memerangi pandemik COVID-19.

"Bantuan ini akan mempercepatkan lagi usaha kami dalam memerangi cabaran susulan penularan pandemik COVID-19," katanya.

Pada sesi itu, Hajiji dan Brian turut menyentuh pelbagai isu lain termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pemerdagangan manusia, pendatang tanpa izin (PTI), dan kerjasama Kedutaan Besar Amerika Syarikat dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menangani keganasan. - AstroAwani

1 Comment