Pemimpin parti tiba di Istana Negara menghadap Agong
15:08 Aug 17, 2021  |  By SabahKini2
Pemimpin parti tiba di Istana Negara menghadap Agong

Sesi menghadap Agong oleh ketua parti bermula hari ini susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri semalam, selepas menerajui negara hanya 17 bulan.

KUALA LUMPUR: Ketua parti daripada Umno, Pakatan Harapan (PH), PAS dan Pejuang tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Kenderaan membawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir memasuki pekarangan Istana Negara melalui pintu 2 bermula 1.52 tengah hari hingga 1.58 tengah hari tadi.

Zahid tiba dengan Toyota Land Cruiser dan Mukhriz menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Manakala Lim juga tiba dengan menaiki Toyota Vellfire, Mohamad Sabu atau Mat Sabu menaiki Honda CRV dan Anwar dengan Toyota Lexus.

Petugas media mula berkumpul di hadapan pintu 2 Istana Negara seawal 8 pagi tadi bagi membuat liputan ketua parti menghadap Agong.

Sesi menghadap Agong oleh ketua parti bermula hari ini susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri semalam, selepas menerajui negara hanya 17 bulan.

Dalam kenyataan, Istana Negara mengumumkan Muhyiddin akan bertindak sebagai perdana menteri “caretaker” sehingga perdana menteri baharu dilantik oleh Agong.

Muhyiddin akhirnya tunduk kepada tekanan untuk berundur selepas 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 7 Julai lalu. - FMT

1 Comment