Kluster baharu di Sabah tercetus daripada bapa pengantin
15:08 Aug 18, 2021  |  By SabahKini2
Kluster baharu di Sabah tercetus daripada bapa pengantin

Datuk Masidi Manjun, berkata lelaki berumur 47 tahun itu dilaporkan bergejala sejak 10 Ogos lalu sebelum datang ke Klinik Kesihatan Tungku pada keesokannya untuk menjalani saringan.

KOTA KINABALU: Satu kluster baharu dikenali sebagai Kluster Sawit Baiduri dikesan di Lahad Datu, semalam dipercayai berpunca daripada majlis perkahwinan yang merekodkan 77 jangkitan.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata lelaki berumur 47 tahun itu dilaporkan bergejala sejak 10 Ogos lalu sebelum datang ke Klinik Kesihatan Tungku pada keesokannya untuk menjalani saringan.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun

“Turut didapati positif ialah anak kepada kes indeks. Pengesanan secara aktif dan saringan bersasar terhadap 178 orang terdiri daripada ahli keluarga dan kontak rapat kemudiannya mengesan 77 kes positif termasuk 43 kes baharu, manakala 101 individu didapati negatif saringan pertama.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan namun siasatan awal mendapati terdapat majlis perkahwinan pada 6 Ogos 2021 yang disyaki menjadi punca penyebaran wabak,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata secara keseluruhan, Sabah semalam mencatat 2,103 kes baharu dengan 15 lagi kes kematian.

Seramai 652 pesakit COVID-19 pula dilaporkan sembuh, manakala seramai 5,153 pesakit sedang menerima rawatan dengan 168 orang daripadanya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 65 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. -BH Online

Comment