Aktiviti bom ikan di perairan Semporna berjaya dipatahkan PPM
16:08 Aug 18, 2021  |  By SabahKini2
Aktiviti bom ikan di perairan Semporna berjaya dipatahkan PPM

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, DSP Mohamad Ismail berkata semua rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM29,130 dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mengekang aktiviti bom ikan yang sering berlaku di perairan daerah ini. Sebanyak tiga buah bot yang disyaki melakukan aktiviti bom ikan berjaya dirampas di laut Pulau Kerindingan, Pulau Nusa dan Pulau Omadal, di sini semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, DSP Mohamad Ismail berkata pihaknya mengesan bot nelayan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.

“Pasukan keselamatan yang menjalankan pemeriksaan keatas bot berkenaan menjumpai beberapa jenis peralatan yang digunakan untuk aktiviti bom ikan dan beberapa jenis hasil laut,” katanya.

Dalam operasi yang sama, pasukan keselamatan turut menahan sebuah lagi bot disyaki membawa kayu tanpa permit.

Katanya, pasukannya mengesan sebuah bot yang sarat dengan muatan bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan Semporna.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa kayu gergaji tanpa permit daripada Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Beliau berkata semua rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM29,130 dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Perhutanan 1968”, katanya.

Mohamad berkata PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar mereka.

“Maklumat boleh disalurkan melalui talian 24 jam atau menggunakan aplikasi Whatsapp ke Pusat Kawalan PPM Sabah di talian 0139391197,” katanya. - UtusanBorneo

 

1 Comment