Polis tahan 2 pengedar dadah di Kampung Kulambai, Kota Belud
13:08 Aug 19, 2021  |  By SabahKini2
Polis tahan 2 pengedar dadah di Kampung Kulambai, Kota Belud

Hasil serbuan berkenaan, polis turut berjaya merampas 30 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

KOTA BELUD: Dua pengedar syabu berjaya ditahan polis dalam operasi di sebuah rumah di Kampung Kulambai, di sini, Jumaat lalu.

Hasil serbuan berkenaan, polis turut berjaya merampas 30 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Katanya, sebaik memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, kedua-dua suspek bertindak cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan dengan pasukan polis.

2 pengedar dadah yang ditahan oleh pihak polis

“Suspek kemudiannya menyerahkan beg sandang yang dibawa dan hasil pemeriksaan menemui 30 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap mereka juga didapati positif Methaphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sahimi berkata, siasatan awal mendapati, semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM565 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, ia dipercayai untuk pasaran di sekitar Kota Belud dalam bentuk ‘deck’ berharga RM20 hingga RM50.

Sehubungan itu, Sahimi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti pembekal dadah berkenaan.

“Masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat sangat dialu-alukan untuk disalurkan kepada pihak polis.

“Bersama-sama kita membantu membenteras penyalahgunaan dadah ke arah pembentukan masyarakat sejahtera yang bebas daripada najis dadah,” tegasnya. - Asiatimes

Comment