Penduduk dewasa Sabah lengkap 2 dos vaksin mencapai 25.8%
16:08 Aug 20, 2021  |  By SabahKini2
Penduduk dewasa Sabah lengkap 2 dos vaksin mencapai 25.8%

Masidi Manjun berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan terus mempercepatkan lagi pemberian vaksin di seluruh negeri Sabah agar dapat mencapai imuniti kelompok 80% bagi penduduk dewasa pada akhir tahun ini.

KOTA KINABALU: Setakat ini, 25.8 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, sebanyak 48.4 peratus penduduk dewasa pula sudah menerima satu dos suntikan.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) terus menggiatkan lagi pemberian vaksin di seluruh negeri bagi mempercepat usaha mencapai imuniti kelompok 80 peratus penduduk dewasa lengkap dua dos vaksin menjelang akhir tahun ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun

“JKNS mencatat satu rekod baharu dalam keupayaan mereka memberikan vaksin dengan sebanyak 62,365 dos sehari berjaya diberikan kepada penerima vaksin semalam (kelmarin),” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Sabah kekal mencatat kes baharu Covid-19 yang tinggi dengan sebanyak 2,583 kes dilaporkan semalam.

Katanya, sebanyak 11 kes kematian akibat Covid-19 turut dilaporkan iaitu empat kes di Tawau, diikuti tiga kes di Kota Kinabalu, dua kes di Keningau dan masing-masing satu kes di Ranau serta Tuaran.

Masidi berkata, kes yang tinggi di Sabah sejak kebelakangan ini antara lain disebabkan ada kes tertunggak iaitu kes positif lewat didaftarkan selepas keputusan saringan diketahui.

“Hari ini (semalam) saja sebanyak 289 kes atau 11.2 peratus daripada 2,583 kes baharu adalah kes yang didaftar lewat termasuk 188 kes di daerah Kota Kinabalu, Penampang (58) dan 40 kes di Putatan,” katanya.

1 Comment