Seorang lelaki ditahan KPDNHEP Tuaran sorok 96kg gula tanpa lesen
17:08 Aug 20, 2021  |  By SabahKini2
Seorang lelaki ditahan KPDNHEP Tuaran sorok 96kg gula tanpa lesen

Suspek dipercayai menjual bekalan gula tersebut di Kota Belud hingga Kota Kinabalu pada harga mencecah rm 5.00 sekilogram bergantung lokasi pembeli.

TUARAN: Tindakan seorang lelaki yang menyorokkan 96 kg gula untuk dijual pada harga lebih mahal membawa padah selepas ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu operasi terancang di sini. Ketua Pegawai Penguatkuasa Daeeah Saripudin Moleng berkata suspek berumur 25 tahun itu ditahan sepasukan Penguatkuasa KPDNHEP Tuaran dengan kerjasama KPDNHEP Sabah selepas menerima aduan orang ramai serta  risikan selama tiga hari di Kota Kinabalu.

“Semasa ditahan pasukan penguatkuasa, suspek didapati membawa 96 kilogram gula pasir kasar yang disembunyikan di dalam  sebuah kenderaan jenis kompak yang dinaiki suspek.

“Suspek juga mengaku bekalan gula itu adalah untuk dijual kepada individu yang sudah membuat tempahan kepada suspek. 

“Gula pasir kasar itu juga akan dijual lokasi sekitar Kota Belud hingga ke Kota Kinabalu manakala harga jualan gula pasir tersebut dijual mencecah sehingga RM5.00 sekilogram bergantung kepada lokasi pembeli,” katanya.

Menurutnya suspek didapati bersalah selepas menjual barangan itu tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh KPDNHEP dengan menjual melebihi RM2.85 sekilogram iaitu harga siling yang ditetapkan bagi gula pasir.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, mana-mana individu boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

“Kenderaan yang digunakan oleh suspek turut disita bagi tujuan siasatan lanjut kes dan nilai anggaran keseluruhan sitaan ini adalah RM12,273.60 iaitu merangkumi nilai anggaran 96 kilogram gula berjumlah RM273.60 dan anggaran kenderaan yang disita bernilai RM12,000.00,” katanya.

Katanya KPDNHEP memberikan amaran dan peringatan tegas kepada pihak tertentu agar tidak mengambil kesempatan semasa pandemik COVID-19 dengan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan tidak menyorokkan barang kawalan dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.

“Pengguna juga boleh terus menggunakan saluran aduan rasmi KPDNHEP untuk menyalurkan aduan dan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan,” katanya.

Comment