Ismail Sabri PM eratkan hubungan Persekutuan-Sarawak
13:08 Aug 21, 2021  |  By SabahKini2
Ismail Sabri PM eratkan hubungan Persekutuan-Sarawak

Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) percaya pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 dapat memberi 'nafas baru' dalam pentadbiran negara dan mengeratkan lagi hubungan Persekutuan dan Sarawak.

KUCHING: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) percaya pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 dapat memberi 'nafas baru' dalam pentadbiran negara dan mengeratkan lagi hubungan Persekutuan dan Sarawak.

Ketua Pemuda PBB, Gerald Rentap Jabu, berkata keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam menstabilkan politik tanah air disokong penuh.

"Hasrat kerajaan negeri yang diterajui GPS adalah menguruskan negeri ini dengan baik dan tidak dibelenggu dengan perebutan kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan Sarawak akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya untuk melandaikan keluk jangkitan COVID-19 di negeri ini yang semakin meningkat, selain berusaha keras melaksanakan Pelan Pemulihan Ekonomi Sarawak yang diumumkan baru-baru ini.

Ahli Majlis Tertinggi PBB, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pula berharap semua parti dapat memberi kerjasama yang tidak berbelah-bahagi khususnya semasa penubuhan Kabinet nanti.

"Kita mesti memberi sokongan kepada kerajaan untuk menangani masalah COVID-19 dan ekonomi pada masa sekarang," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PBB, Datuk Idris Buang, berkata pemilihan Ismail Sabri adalah keputusan yang tepat, bukan saja kerana sokongan majoriti wakil rakyat tetapi juga kerana pengalaman luas beliau dalam pentadbiran dan latar belakang seorang peguam.

1 Comment